Pages


Monday, July 25, 2011

Kenali Pemain-pemain kebangsaan: Penjaga Gol

1. Khairul Fahmi Che Mat (22 tahun)
Lebih mesra dengan panggilan Apek, namanya kini semakin popular seiring dengan peningkatan aksinya di padang samaada bersama pasukan negeri mahupun kebangsaan. Beliau beraksi bersama Kelantan FA ketika ini di dalam Liga Super dan dalam usianya yang muda iaitu 22 tahun, beliau boleh dianggap sebagai penjaga gol utama skuad kebangsaan ketika ini serta mengetepikan pencabar-pencabar lain yang agak senior daripadanya. Ketangkasannya di gol dan berjaya menafikan golnya daripada dibolosi serta beberapa aksi memukau semasa di Sukan Asia 2010 dan Piala AFF 2010 telah menyebabkan namanya terus melekat sebagai penjaga gol utama skuad kebangsaan.

2. Mohd Sharbinee Allawee Ramli (25 tahun)
Penjaga gol utama pasukan Terengganu FA ini adalah bekas penjaga gol utama kebangsaan sebelum ini. Masih muda iaitu berumur 25 tahun dan beraksi cemerlang ketika skuad bawah 23 tahun kebangsaan memenangi pingat emas Sukan Sea 2009. Kemudian disebabkan kecederaan bahu, bermulalah aksi kurang memberangsangkan daripada beliau. Ketangkasannya di depan gol mula dipersoalkan sehingga sekarang. Tapi dalam usia yang masih muda ini, beliau sebenarnya masih mempunyai banyak ruang untuk terus bersaing merebut tempat sebagai penjaga gol utama negara. Ketika ini, beliau adalah pencabar utama Apek untuk tempat penjaga gol utama negara. 


3. Mohd Farizal Marlias (25 tahun)
Namanya yang semakin malap tiba-tiba memuncuk apabila beraksi cemerlang baru-baru ini ketika skuad Pilihan Malaysia menentang Chelsea di Bukit Jalil. Menyelamatkan beberapa percubaan daripada pemain-pemain terkemuka dari Chelsea, menyebabkan namanya kembali naik walaupun ketika ini di dalam skuad Negeri Sembilan FA tempatnya telah diambil alih oleh Farizal Harun akibat aksinya yang agak menurun kebelakangan ini. Kecederaan di bahagian muka menyebabkan beliau gagal mendapat aksi terbaiknya semula. Beliau merupakan penjaga gol ketika Datuk K. Rajagobal mula mengambil alih skuad kebangsaan pada tahun 2009 dan beraksi dengan baik ketika menentang Zimbabwe dan kelab Manchester United pada tahun yang sama. Usianya baru menjangkau 25 tahun dan masih boleh bersaing semula dengan penjaga gol lain ketika ini. Pernah mendapat pendedahan di Jerman oleh Herr Holger Oberman ketika berusia 15 tahun. 

4. Mohd Nasril Nourdin (25 tahun)
Kembali ke dalam senarai skuad kebangsaan setelah sekian lama menghilang akibat prestasi yang kurang memberangsangkan. Pernah bersama skuad bawah 23 tahun kebangsaan tahun 2008 dalam Piala Intercontinental menentang pasukan Olimpik Nigeria dan Iraq. Beliau juga pernah beraksi bersama skuad kebangsaan ketika menentang New Zealand sekitar tahun 2006 menyaksikan Malaysia tewas 1-0 ketika itu. Disebabkan itu jugalah, pada tahun yang sama, scout dari Balckburn Rovers, Mike Riggs ingin memberi beliau peluang mencuba nasib di kelab mereka. Tetapi disebabkan ranking Malaysia ketika itu (154) tidak mencapai tahap yang ditetapkan pihak di sana (70 dan ke atas), berita ini terus lenyap di bawa angin. Kini, aksi baik bersama pasukannya, Perak FA, di dalam Liga Super, beliau kembali untuk merebut tempat di dalam skuad utama kebangsaan.  

5. Syed Adney Syed Hussien (25 tahun)
Berumur 25 tahun dan lahir di Liverpool, England. Ketika Piala AFF 2008, beliau mengambil alih posisi penjaga gol daripada penjaga gol utama skuad kebangsaan ketika itu iaitu Helmi Eliza Elias selepas Helmi Eliza mempamerkan aksi terburuknya dalam kejohanan penting tersebut. Beliau sedang beraksi bersama Sabah FA selepas dipinjamkan oleh Kelantan FA untuk musim ini tetapi masih gagal mendapat tempat sebagai penjaga gol utama pasukan Sabah FA seperti mana di Kelantan FA juga. Disebabkan itulah, beliau semakin kurang mendapat tempat untuk bersama skuad kebangsaan ketika ini. Beliau pernah pergi ke kelab Middlesbrough dan Darlington FC sekitar tahun 2007 untuk mencuba nasib dalam pemilihan tetapi gagal mendapat tempat. 

Antara nama-nama lain yang boleh diletakkan dalam senarai ini adalah:

6. Mohd Zamir Selamat (22 tahun) Harimau Muda A

7. K. Sasikumar (22 tahun) Harimau Muda A

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails