Bagi skuad negara, ia umpama sekadar memenuhi jadual latihan pusat tetapi bagi Selangor, aksi persahabatan di Stadium Shah Alam, kelmarin mampu memusatkan semula perhatian dan semangat pasukan menjelang Piala Malaysia, 6 September ini.
Anak buah Datuk K. Rajagobal yang gagal melepasi Singapura dalam pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2014, baru-baru ini, tewas dengan jaringan tunggal penyerang Selangor, Rudie Ramli menerusi rembatan kaki kiri separuh voli dari luar petak penalti.
Pelbagai gandingan pemain termasuk yang kembali dipanggil ke kem Wisma FAM sejak Rabu lalu, dicuba menentang barisan bimbingan K. Devan seperti Farizal Marlias, Norhafiz Zamani Misbah, Mohamad Azmi Muslim dan Khyril Muhymeen Zambri mahupun Joseph Kalang Tie.