Pages


Monday, August 30, 2010

Harimau Muda Beraya Awal

Pemain Harimau Muda A diberi peluang 'bercuti awal' sempena Aidilfitri selama empat hari, sebelum dijadualkan menyambutnya di perantauan, kerana akan menjalani 12 perlawanan dengan 12 kelab Liga 1 Slovakia, mulai Khamis ini.
 
Jurulatih skuad Bawah 21 kebangsaan itu, Ong Kim Swee berkata, kesempatan itu membolehkan anak buahnya bertemu keluarga dan sanak saudara, memandangkan mereka terpaksa 'mengorbankan' sambutan Aidilfitri di tanah air tahun ini dan terus berada di sana sehingga November depan.


"Kami memberikan rehat kepada pasukan daripada sesi latihan selama empat hari, untuk mereka pulang awal ke kampung dan bertemu keluarga kerana tidak dapat beraya bersama setelah berlepas ke Slovakia, 2 September (Rabu). 

"Kami juga tidak punya banyak masa kerana perlawanan pertama menentang kelab Slovakia, Ruzemberok sahaja sudah pun dijadualkan pada 5 September ini (Ahad)," katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.

Jelasnya, sebelum dimaklumkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengenai pemergian ke negara Eropah Timur itu Selasa lalu, mereka tetap menjalani latihan rutin di Kelana Jaya seperti biasa dan cuma mengadakan dua perlawanan persahabatan dengan dua pasukan tempatan.

"Kami menang kedua-duanya dengan RAMD (Rejimen Askar Melayu Diraja) dan Tentera Udara Diraja Malaysia, Sungai Besi sebagai perlawanan mengekalkan tahap kecergasan pasukan walaupun tidak setimpal bagi persediaan ke Slovakia," katanya.

Kim Swee, yang mengambil alih tugas menerajui skuad Sukan SEA 2011 itu daripada Azraai Khor Abdullah sejak Jun lalu, menambah, "Lebih mencabar ialah perlawanan pertama kami perlu dihadapi tanpa enam pemain yang masih bersama skuad Bawah 23 Tahun negara di Doha, Qatar,''.

Mereka ialah K. Gurusamy Govandar, Mohd. Muslim Ahmad, Mahalli Jasuli, Gary Steven Robbat, Izzaq Faris Ramlan dan Mohd. Fadhli Shas, yang menyertai skuad jurulatih, K. Rajagobal bagi siri persahabatan dengan sebuah kelab Qatar dan skuad kebangsaan Oman, awal bulan depan menjelang Sukan Asia Guangzhou. 

Tujuh pemain Harimau Muda B (Bawah 19) yang beraksi dalam Liga Perdana 2010 turut disenaraikan ke Slovakia iaitu Irfan Fazail, Amer Saidin, D. Saarvindran, Wan Zaharul Nizam Wan Zakaria, Ferris Danial Mat Nasir, Nicholas Wee Shen Ming, Izham Tarmizi Roslan selain Syahrul Azwari Ibrahim dan Farhan Abu Bakar.

"Bagaimanapun, saya dapati tiada masalah untuk pemain menerima tunjuk ajar sejak bertukar jurulatih dan mereka mempunyai masa secukupnya dari segi penyesuaian diri," katanya.

sumber: Utusan

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails