Pages


Saturday, August 28, 2010

Status Pemain Import Musim Depan


Teka-teki perkara tersebut akan terjawab apabila Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengadakan mesyuarat pada Oktober ini, dengan salah satu agendanya ialah membincangkan kemungkinan pemain import dibenarkan beraksi semula dalam Liga Malaysia.

Menurut Timbalan Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, kewajaran pemain import untuk beraksi semula dalam liga tempatan, kini dikaji oleh Jawatankuasa Liga Malaysia.

Katanya, jawatankuasa terbabit sedang mencari formula terbaik bagi membawa masuk pemain luar untuk bermain dalam liga tempatan.

''Berkaitan pemain import, ia akan dikaji secara tidak rasmi oleh Jawatankuasa Liga Malaysia atau Jawatankuasa Pertandingan.

''Saya harap satu pendekatan dapat dibincang pada Oktober atau November ini," katanya selepas menyampaikan bantuan kepada 102 mangsa ribut di Kompleks Penyayang Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di Kampung Tiram, semalam.

Pada 9 Ogos lalu, bekas Naib Presiden FAM, Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar meminta FAM menimbang kemasukan pemain import bagi merancakkan semula Liga Super.

Menurutnya, kehadiran pemain asing dapat menarik minat penonton untuk kembali semula ke stadium.

Sebagai liga profesional, tegasnya, kehadiran pemain import dapat mewujudkan semangat bersaing di kalangan pemain tempatan.

Pada Ogos 2008, FAM mengambil tindakan drastik dengan mengumumkan khidmat pemain import tidak lagi dibenarkan dalam saingan Liga Malaysia bermula musim 2009.

Tengku Abdullah berkata, antara isu yang sedang dikaji ialah berkaitan tangga gaji pemain import.

Bagaimanapun jelasnya, keputusan sama ada pemain import dibenarkan beraksi, akan diumumkan selepas FAM mengadakan mesyuaratnya Oktober ini.

''Kita akan kaji semuanya termasuk dari segi tangga gaji pemain import. Kita akan umumkan apabila mendapat satu formula terbaik nanti," jelasnya.

Ditanya secara peribadi sama ada beliau bersetuju pemain import dibenarkan beraksi semula, katanya: ''Saya tidak mahu cakap apa-apa, nanti ramai yang teruja. Apa pun kita kaji dulu secara mendalam supaya kita hendak yang terbaik dalam liga ini."

Tengku Abdullah menambah, mesyuarat FAM pada Oktober ini juga akan membincangkan hala tuju baru badan induk bola sepak negara itu selepas pemilihan jawatankuasa barunya, baru-baru ini.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails