Pages


Sunday, November 28, 2010

'Cakap memang mudah'


KALAU sekadar bercakap, memang mudah. Sebaik mendapat tahu ketua jurulatih skuad kebangsaan, K Rajagobal (gambar) sukar merencana skuad untuk beraksi di Piala Suzuki 2010 akibat kehilangan ramai pemain selepas dilanda kecederaan ada juga pihak yang mencadangkan kepada beliau supaya menggunakan khidmat pemain tertentu.

“Ambillah si polan atau si polan itu,” cadang beberapa individu yang mendakwa diri mereka sebagai ‘pakar’ bola sepak negara dan apabila cadangan itu diketengahkan kepada Rajagobal, beliau hanya tersenyum sinis sambil menjawab: “Ingat senang ke? Kalau saya boleh tukar pemain, sudah lama saya buat.

“Senarai 30 pemain yang bakal beraksi di Piala Suzuki 2010 sudah kita hantar sejak berbulan-bulan lalu. Saya tidak boleh menggunakan khidmat pemain yang namanya tidak ada dalam senarai berkenaan. Inilah masalahnya. Memang kalau untuk bercakap, mudah tetapi saya yang terpaksa menanggung semuanya.


“Memang saya ada menerima cadangan supaya menggunakan pemain itu dan ini. Tapi ini saingan antarabangsa dan ia bukanlah mudah. Bukan saya mahu menidakkan keupayaan mereka tapi banyak faktor yang perlu saya ambil kira sebelum menyenaraikan pemain,” katanya.

Kata-kata Rajagobal itu ada juga benarnya. Sebahagian besar pemain kita hanya gah ketika mewakili negeri atau kelab tapi setiap kali dipanggil menjalani latihan pusat skuad kebangsaan, mereka seolah-olah belum bersedia diberikan tanggungjawab serta penghormatan menyarung jersi negara.

“Anda lihat sendiri. Boleh ke pemain yang mahu mewakili negara, lebih banyak berjalan daripada berlari. Kalau mereka sudah mengamalkan sikap sebegini, bagaimana ketika perlawanan sebenar nanti? Mereka tidak menunjukkan kesungguhan atau semangat untuk mewakili negara.

“Itu hanya sedikit daripada masalah yang saya alami setiap kali latihan pusat dijalankan. Itulah pemain yang dicadangkan pihak tertentu kononnya mendakwa pemain berkenaan sangat cemerlang ketika mewakili negeri atau kelab masing-masing,” kata Rajagobal.

Ketua pengendali itu berdepan masalah meruncing apabila sebahagian besar tonggak utamanya kini mengisi senarai panjang kecederaan ketika aksi kemuncak Piala Malaysia serta saingan Sukan Asia Guangzhou, baru-baru ini.
Yang memeningkan, Piala Suzuki 2010 (dulunya dikenali sebagai Piala Tiger), bermula 1 Disember ini sedangkan tonggak utama sudah hampir pasti tidak diturunkan akibat kecederaan.

Malaysia berada dalam Kumpulan A dan bersaing dengan tuan rumah, Indonesia, Thailand dan Laos. Tempat terbaik pernah diraih Malaysia sepanjang tujuh edisi Piala Suzuki sejak 1996 ialah muncul naib juara edisi pertama pada 1996 selepas ditundukkan Thailand 1-0.

“Sekarang, saya terpaksa gunakan apa saja yang ada. Ini juga peluang terbaik buat pemain Harimau Muda membuktikan kemampuan dan saya berharap pemain muda yang diturunkan nanti dapat menggunakan aksi Piala Suzuki sebagai medan untuk menimba pengalaman,” katanya.

sumber: Metro

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails