Pages


Tuesday, August 2, 2011

SINAR HARIAN | Isu Gantung Pemain Perak

Lembaga Disiplin Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), diharap dapat memberi pertimbangan sewajarnya dalam menangani isu penggantungan lima pemain skuad Liga Super Perak yang didakwa terlibat menyerang pengadil Mohd Sabri Mat Lazim, ketika perlawanan menentang Sabah di Stadium Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), 19 Mei lalu. 

Penyerang sensasi Perak, Akmal Rizal Ahmad Rakhli ketika ditemui berkata, dia serta empat lagi pemain mengakui agak terkejut setelah dimaklumkan mengenai penggantungan berkenaan oleh pihak Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa), baru-baru ini. 

“Memang agak mengejutkan juga apabila diberitahu mengenai perkara berkenaan oleh pihak Pafa, bahawa saya dan empat pemain lain digantung selama tujuh perlawanan serta didenda sebanyak RM4,000. 

“Bagaimanapun, pihak Pafa telah menghantar surat rayuan kepada pihak FAM agar perkara berkenaan dapat dikaji semula selain kami diberi pulang untuk mengadap pihak Lembaga Disiplin FAM untuk menerangkan situasi sebenar. 


“Saya juga berharap perkara ini dapat diselesaikan dengan baik kerana kalau boleh saya sendiri tak mahu digantung sampai tujuh perlawanan kerana ianya sekali gus akan menjejaskan matlamat bagi membantu pasukan dalam kempen Piala Malaysia kelak,” katanya kepada Sinar Harian. 

Selain Akmal, kapten pasukan Shahrul Nizam Mustapha, penjaga gol kebangsaan, Nasril Nourdin, Syazwan Roslan dan Azmeer Yusoff turut berdepan hukuman sama daripada pihak Jawatankuasa Disiplin FAM kerana didakwa terlibat dalam insiden tersebut. 

Terdahulu, kapten pasukan, Shahrul Nizam Mustapha berkata, pihak FAM sewajarnya melaksanakan perbicaraan berhubung insiden tersebut terlebih dahulu sebelum menjatuhkan sebarang hukuman kepada para pemain. 

Katanya, pihak FAM juga diharap dapat mempertimbangkan rayuan para pemain kerana hukuman berkenaan nyata menjejaskan persiapan pasukan menjelang saingan Piala Malaysia nanti. 

“Hukuman tersebut juga menggambarkan bahawa kami berlima ini tak dapat keadilan sebenar. Apa pun, saya berharap pihak FAM pertimbangkanlah rayuan kami ini,” katanya. 

Sementara itu ketua jurulatih, Norizan Bakar enggan memberikan sebarang komen ketika diminta mengulas lanjut berhubung penggantungan kelima-lima pemain terbabit.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails