Pages


Monday, August 1, 2011

BERITA HARIAN | 'Harimau Harus Bangkit Demi Penyokong'

PENYERANG sensasi negara, Safee Sali tidak mahu rakyat Malaysia terus meratapi kegagalan Harimau Malaya layak ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2014, sebaliknya mahu semua pihak belajar daripada episod duka itu untuk mencipta kejayaan lebih besar pada masa depan.

Penyerang yang meledak tiga gol ketika anak buah Datuk K Rajagobal tunduk 4-6 dalam perlawanan timbal balik kepada Singapura mengakui kekalahan kepada musuh tradisi itu amat perit diterima, tetapi menegaskan ia bukan penamat dan berakhirnya masa depan Harimau Malaya.

“Saya tahu seluruh negara kecewa, tetapi perasaan itu tidak harus terus membelenggu kita. Sebaliknya, ia menuntut kita bekerja dan berusaha lebih keras lagi,” katanya yang pulang semula ke Jakarta kelmarin untuk mengikuti latihan pusat bersama kelabnya, Pelita Jaya bermula Khamis ini bagi menghadapi musim baru.


Safee yang menyuarakan kesediaan untuk terus menyarung jersi kebangsaan termasuk beraksi di Sukan SEA November ini andai dipanggil berkata, dia dan rakan sepasukan amat terharu dengan sokongan peminat setia yang membanjiri Stadium Nasional, Bukit Jalil, Khamis lalu.

“Walaupun pasukan tewas 5-3 dalam perlawanan pertama, tetapi kehadiran puluhan ribu penyokong membuktikan keyakinan dan sokongan mereka terhadap kami tidak pernah luntur. Seluruh pasukan terharu dan pada masa sama meminta maaf kerana tidak dapat membalasnya dengan menghadiahkan kemenangan kepada mereka,” katanya.

Safee yang pertama kali berpuasa di rantau orang selaku pemain profesional mengakui teruja dan tidak sabar merasai pengalaman serta suasana baru mengerjakan ibadat itu.

“Mungkin ada sedikit perbezaan terutama rutin latihan, tetapi saya yakin bukan masalah besar dan mampu menyesuaikan diri. Saya juga terbabit beberapa program lain yang diatur sepanjang Ramadan ini dan sudah pasti ia pengalaman yang mengujakan dan sukar dilupakan,” katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails