Pages


Monday, August 1, 2011

UTUSAN | Sampai Masa Perlu Penasihat Taktikal

Tersingkir di pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2014 selepas tewas agregat 4-6 kepada Singapura tidak melunturkan kepercayaan ramai terhadap kemampuan jurulatih Datuk K. Rajagobal.

Namun, ramai yang percaya jika skuad kebangsaan itu menerima suntikan tambahan - kepakaran taktikal daripada kepakaran luar atau dalam sekalipun, sudah pasti Harimau Malaya menyinga.

Lontaran idea ini timbul sebaik sahaja menyaksikan Malaysia tersingkir daripada kelayakan Piala Dunia 2014, Khamis lalu.

Ada cakap-cakap yang mempersoalkan perancangan taktikal dan strategi Rajagobal yang didakwa kurang menyengat, justeru itu timbul pandangan bahawa perlunya penasihat taktikal atau mereka yang benar-benar pakar untuk memberikan khidmatnya secara profesional terhadap skuad negara.

Rata-rata peminat menyayangi skuad yang dibentuk ini yang disifatkan mempunyai masa depan cerah.

Namun, malangnya bakat mereka ini sepatutnya lebih terserlah jika segala-galanya disajikan dengan sempurna mungkin, termasuklah kepakaran.


Pandangan ini, kata mereka bukanlah menafikan usaha Rajagobal tetapi lebih kepada membantu jurulatih itu untuk membina satu pasukan yang benar-benar mantap dan mampu menangani apa jua halangan antarabangsa.

Jika diteliti pencapaian Malaysia di arena antarabangsa, skuad Harimau Malaya bergelar juara Sukan SEA dan Piala Suzuki AFF tetapi masih tidak mampu untuk melepasi kejohanan lebih besar termasuklah Sukan Asia mahupun kelayakan Piala Dunia.

Pencapaian ini sepatutnya menjadi kayu ukur kepada skuad kebangsaan dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang mungkin sudah boleh memikirkan elemen 'ekstra' yang diperlukan oleh skuad kebangsaan ketika ini.

Kita tidak boleh sekadar berpuas hati dengan pencapaian sekarang ini kerana setiap kejohanan atau perlawanan mesti ada post mortem dan kaedah mengatasinya.

Daripada hasil bedah-siasat itu, sewajar ada buah fikiran baru untuk mengatasi kekangan yang sekian lama membelenggu - taktikal.

Kita perlu akui hakikat kesebelasan pemain negara masih kurang kemahiran taktikal dan perlawanan menentang Singapura sebelum ini memperlihatkan kawalan bola kita agak lemah, begitu juga hantaran-hantaran yang tidak menampakkan permainan cantik.

Bagaimanapun, Utusan Malaysia telah mendapatkan pandangan daripada dua jurulatih berpengalaman dalam saingan bola sepak tempatan iaitu Datuk M. Karathu yang sekarang ini melatih pasukan Kelantan dan Irfan Bakti Abu Salim, jurulatih Terengganu.

Kedua-duanya mempunyai pandangan yang berbeza iaitu Rajagobal tidak perlu penasihat taktikal dari luar untuk membimbing skuad negara, yang mana tindakan tersebut akan menambah kecelaruan lagi dalam skuad kebangsaan.

Jelasnya, jika jawatan tersebut hendak diwujudkan dia berpendapat seseorang yang ingin dilantik itu memang betul-betul mahir dalam arena bola sepak antarabangsa mahupun tempatan.

"Jika kita lantik seorang pengarah teknikal sekali pun ia tidak boleh mencampuri urusan jurulatih yang sedia ada kerana melanggar kuasa, melainkan dia mempunyai persefahaman dengan jurulatih ataupun tugas tersebut digalas oleh pengurus.

"Dalam erti kata lain pengurus itu harus mempunyai kepakaran ataupun pengalaman dalam bidang bola sepak untuk memberi nasihat serta pandangan kepada jurulatih, sedikit sebanyak seseorang pengurus itu dapat membantu jurulatih dari segi strategi mahupun teknikal," katanya.

Sementara itu, Karathu berkata, jawatan pengarah teknikal mahupun penasihat tidak perlu dalam skuad kebangsaan, malah beliau sependapat dengan Irfan bahawa ia sedikit-sebanyak akan mengganggu tugas jurulatih.

"Apa yang paling bernas ialah kita berbincang secara berkumpulan selepas itu memberikan cadangan dan mengemukakan pandangan kepada jurulatih berserta dengan penilaian terhadap pemain yang beraksi.

"Di sini kita dapat melihat jurulatih memang mempunyai kuasa tidak kira sama ada di kelab mahupun negara, jika kita hendak mewujudkan tugas tersebut seseorang itu perlu arif dalam bola sepak serta mempunyai pengalaman di arena antarabangsa," katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails