Pages


Thursday, October 14, 2010

Suku Akhir Piala Malaysia 2010

 Terengganu kecewa gagal benam Kedah

JURULATIH Terengganu, Irfan Bakti Abu Salim tidak dapat menyembunyikan riak kecewa selepas seri 2-2 dengan Kedah di laman sendiri kelmarin, dan menyifatkan ia seharusnya boleh dielak jika pemain tidak memberi laluan mudah kepada lawan.

Katanya, tindakan anak buahnya membiarkan lawan tanpa kawalan ketika berada di dalam petak penalti membawa padah apabila Kedah berhasil menjaringkan gol. 

Irfan mengakui, pemain tidak beraksi baik di babak pertama dan dihukum tetapi keputusan seri tetap membuka peluang untuk Terengganu mara jika mampu mengatasi Kedah di Stadium Darul Aman, Sabtu ini.
“Masih ada 90 minit lagi dalam perlawanan kedua di tempat lawan, Sabtu ini dan Terengganu tetap ada peluang untuk mara ke separuh akhir,” katanya yang akan berusaha memperbaiki kelemahan anak buahnya terutama barisan pertahanan bagi menghalang serangan bahaya Kedah.

Sementara itu, jurulatih Kedah, Ahmad Yusoff memuji persembahan anak buahnya yang bermain dengan baik dan mampu mengikat jaringan dengan tuan rumah, malah kurang bernasib baik untuk mencipta kemenangan pada saat-saat akhir.

“Kini peluang Kedah untuk ke separuh akhir lebih cerah dan beraksi di tempat sendiri memberi sedikit kelebihan untuk kami.” 
  
NS yakin mampu ketepikan Perlis

SEKALIPUN tiada bekalan selesa untuk di bawa ke gelanggang lawan di Kangar pada perlawanan timbal balik suku akhir Sabtu ini, Negeri Sembilan tetap akan menjadikan kelebihan 1-0 itu sebagai landasan untuk ke separuh akhir Piala Malaysia.

Malah skuad berkenaan yakin mereka mampu mengenepikan cabaran Singa Utara dengan menambah defisit lawan pada perlawanan suku akhir kedua nanti.
Jurulatih Wan Jamak Wan Hassan (gambar) yang berpuas hati terhadap persembahan anak buahnya kelmarin, berkata kemenangan tipis itu tetap memberi makna besar.

“Saya puas hati terhadap persembahan yang dipamerkan walaupun hanya menang tipis kerana ia tetap penting. Namun saya akui, barisan depan kurang berfungsi dengan sempurna terutama dari segi penyudahan berikutan ketiadaan Mohd Zaquan Adha (Abd Radzak).

“Norizam (Salaman) yang disandarkan gagal beraksi baik hingga menyebabkan beberapa peluang terlepas,” katanya.

Negeri Sembilan bertandang ke Kangar berbekalkan satu gol jaringan Shahurain Abu Samah yang menggantikan Norizam pada pertengahan babak pertama.

Wan Jamak berkata, dia mahu pemain meneruskan semangat juang itu sambil barisan depan diperkemaskan demi memastikan jaringan.

“Walaupun ada beberapa pemain muda seperti Mohd Asyraf Al-Jafri yang boleh menggalas tugas di barisan depan, saya berharap Norizam dapat meningkatkan lagi persembahannya kerana pertembungan di Kangar nanti dijangka lebih sengit.” 

Johor FC anggap masih berada dalam zon tak selamat

JURULATIH Johor FC, Azuan Zain tidak mahu terlalu teruja dengan keputusan 1-0 menewaskan Pahang dalam saingan suku akhir pertama Piala Malaysia kelmarin, sebaliknya menganggap skuad bimbingannya masih berada dalam zon tidak selamat.

Katanya, aksi perlawanan masih berbaki 90 minit dan jika pemain hilang tumpuan pada saingan suku akhir kedua di Stadium Darul Makmur Sabtu ini, kemungkinan hajat untuk mengulangi kejayaan layak ke separuh akhir dua musim lalu tidak kesampaian.

“Sepatutnya pemain tidak terikut-ikut dengan corak lawan, malah sikap terlalu berhati-hati menyebabkan setiap gerakan kurang efisien dan kerap kehilangan bola.

“Hanya di babak kedua, baru pemain menguasai rentak dan kembali mengatur strategi untuk mencari gol dan ruang itu digunakan sepenuhnya Khairi Kiman untuk jaringan tunggal,” katanya.

Mengulas formasi 3-5-2 yang digunakan, Azuan menegaskan betapa corak berkenaan lebih kepada menguatkan barisan tengah dan memastikan posisi itu tidak dikuasai lawan.

“Mohd Khairul Ismail dan Azizan Baba menjalankan tugas di posisi tengah dengan baik dan cepat menutup ruang dari dikuasai lawan,” katanya. 

sumber: Berita Harian 

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails