Pages


Tuesday, November 30, 2010

Amri tekad balas kepercayaan Raja

SUDAH enam edisi berlangsung sejak kali terakhir Mohd Amri Yahyah mewakili negara pada saingan Piala Suzuki AFF dan dia sama sekali tidak pernah menyangka ketua jurulatih, K Rajagobal masih lagi menaruh minat dan kepercayaan tinggi kepadanya.

Dulu, khidmatnya ditagih Bertalan Bicskei dan kali ini, Rajagobal mahu pemain tengah yang juga kapten Selangor membuktikan keupayaannya merobek gawang tiga lawan dalam Kumpulan A, saingan Piala Suzuki AFF menyingkap tirainya di Jakarta, esok.


Malaysia mengharungi perlawanan pembukaan Kumpulan A menentang tuan rumah, Indonesia di Stadium Gelora Bung Karno, esok dan pemain senior seperti Amri perlu memastikan tidak ada antara rakan-rakannya terpengaruh dengan sorakan penyokong fanatik tuan rumah.

Amri sedar, pemilihannya menyarung jersi kebangsaan kali ini hanyalah sekadar ‘pengganti atau pilihan kedua’ selepas ramai pemain tonggak di posisi depan tidak dapat bermain akibat kecederaan tapi dia tidak mahu menjadikan itu sebagai alasan untuk tidak memberikan aksi terbaik.

“Saya sudah berusia 29 tahun dan kalau bukan sekarang, bila lagi saya mahu membantu skuad kebangsaan? Biarlah apa orang nak kata tapi yang penting, panggilan mewakili negara ini adalah satu penghormatan besar buat saya.

“Saya mahu mengucapkan terima kasih atas kepercayaan diberikan ketua jurulatih tapi saya bukan sekadar mahu meluahkannya dengan kata-kata sebaliknya saya mahu membalas kepercayaan itu dengan memberikan aksi saya yang terbaik.

“Itulah azam dan tekad saya kali ini. Siapa tahu ini mungkin kali terakhir saya mewakili negara memandangkan saya sudah berusia. Justeru, di kesempatan ini, saya mahu penampilan saya dikenang,” kata Amri.

Pada saingan Piala Suzuki AFF (dulunya dikenali sebagai Piala Tiger), Malaysia diletakkan dalam Kumpulan A bersama-sama tuan rumah, Indonesia, Thailand dan Laos.

Pertemuan Malaysia dengan Indonesia (1 Disember) serta Thailand (4 Disember) dilangsungkan di Stadium Gelora Bung Karno manakala perlawanan terakhir peringkat kumpulan menentang Laos (7 Disember) dilangsungkan di Stadium Jaka Baring, Palembang selepas venue asal, Stadium Jalak Harupat di Bandung tidak dapat digunakan.

Untuk rekod, Malaysia hanya sekali melangkah ke final pada edisi sulung 1996 tapi ditewaskan Thailand dengan keputusan 1-0.

Ketika Amri menyarung jersi negara pada 2004, skuad bimbingan Bicskei itu berjaya menduduki tangga ketiga dan kali ini, walaupun sedar Malaysia bukanlah pilihan untuk melangkah ke separuh akhir, Amri tidak mahu sesekali percaya dengan ramalan berkenaan.

“Di atas padang, semua boleh berlaku. Biarlah orang kata kita bukan pilihan dan bagi saya, tanggapan itu bagus untuk pemain kita kerana ia akan mengurangkan tekanan. Kita perlu lupakan semua soal itu dan berusaha menampilkan persembahan paling menarik,” katanya.

sumber: Metro

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails