Pages


Tuesday, November 30, 2010

Indonesia turut hadapi masalah kecederaan

MENJELANG pertemuan pembukaan Kumpulan A bertemu tuan rumah, Indonesia, skuad bimbingan ketua jurulatih K Rajagobal seharusnya mampu menarik nafas lega kerana khabar dihidangkan rakan sejawatnya di Indonesia, Alfred Riedl menyatakan beliau juga dibelenggu masalah serupa - kecederaan pemain.

Setakat semalam, Riedl belum memutuskan siapa yang diturunkan selaku kesebelasan utama pada perlawanan menentang Malaysia di Stadium Gelora Bung Karno, esok dan semuanya gara-gara ramai pemain tonggaknya mengalami kecederaan.


Kelmarin, Riedl terpaksa mengetepikan tonggak pertahanan, Nova Arianto akibat kecederaan pangkal paha dan sebelum itu, beliau sudah menghantar pulang Hariono dan Oktavianus Maniani akibat masalah sama. Hariono dilaporkan masih belum cergas sepenuhnya manakala Oktavianus pula berdepan masalah hamstring.
Nova dan Hariono mewakili kelab Persib Bandung manakala Oktavianus Maniani pula mewakili Persija.

Nova dan Hariono adalah pemain yang sering dipertaruhkan Riedl pada setiap kejohanan antarabangsa. Nova, 32, digandingkan dengan Charis Yulianto di benteng pertahanan dan ketiadaannya sangat dirasai Riedl.

“Nova memerlukan dua minggu untuk sembuh dan kami tidak mempunyai masa sebanyak itu. Kami terpaksa mengubah dan merombak semula pasukan. Saya tidak mempunyai pilihan lain,” kata Riedl.

Ketiadaan Nova memaksa Riedl bergantung harap kepada Hamka Hamzah, Muhammad Robby, Zulkiffli Syukur, dan Muhammad Ridwan di benteng pertahanan dan Riedl berkata, beliau turut terpaksa memanggil semula Yesaya Desnam yang sebelum ini diketepikan bagi menggantikan Nova.

“Selain kehilangan Nova, kami tidak berdepan masalah lain. Saya cuma berharap tiada lagi pemain kami yang cedera dalam masa terdekat ini. Kami bersedia sepenuhnya menentang Malaysia pada perlawanan pembukaan nanti,” katanya.

Indonesia pernah muncul naib juara kejohanan Piala Suzuki AFF sebanyak tiga kali iaitu pada tahun 2000, 2002 dan 2004. Kali ini, selaku tuan rumah, Riedl mahu anak buahnya tidak mensia-siakan peluang mengungguli Kumpulan A yang turut dihuni Thailand dan Laos.

sumber: Metro

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails