Pages


Monday, November 8, 2010

Hajat besar Zamani, Safiq

Dua tonggak utama skuad bola sepak kebangsaan, Norhafiz Zamani Misbah dan Safiq Rahim bertekad memastikan tiga mata penuh menjadi milik Malaysia pada aksi menentang Kyrgyzstan petang ini.

Zamani, 29, adalah antara tiga pemain senior yang dibawa jurulatih kebangsaan, K. Rajagobal ke Guangzhou. Dua lagi ialah Norshahrul Idlan Talaha, 24, dan S. Kunanlan, 24.


Bagi pemain pertahanan tengah yang akan bertindak sebagai ketua pasukan itu, pengalaman beraksi buat kali ketiga di pentas Sukan Asia pasti akan memberi kelebihan kepadanya dalam memimpin barisan pemain muda negara.

"Ketika Sukan Asia 2002 di Busan, saya masih beraksi sebagai pemain bawah umur dan tidak menjadi kapten. Di Sukan Asia 2006 di Doha, saya menjadi kapten dan pemain lebih umur.

"Jadi bagi penyertaan kali ketiga di Sukan Asia ini, saya harap dapat menggunakan segala pengalaman yang ada sebelum ini untuk membantu pasukan.

"Tetapi kita tetap tak boleh ambil mudah bertemu Kyrgyzstan kerana selepas ini kita akan bertemu Jepun dan China. Walaupun ranking kita lebih baik berbanding Kyrgyzstan, peluang untuk menang masih 50-50.

"Yang penting, semua pemain yang turun beraksi perlu mempamerkan komitmen, kesungguhan dan fokus sepanjang perlawanan," kata Zamani ketika ditemui Kosmo! selepas sesi latihan petang semalam.

Sementara itu, Safiq, 23, yang akan menjana jentera tengah pula mahu menggunakan kelebihan situasi bola mati seperti sepakan percuma dan sepakan sudut untuk memerangkap Kyrgyzstan.

"Saya akan buat yang terbaik setiap kali Malaysia mendapat sepakan percuma atau sepakan sudut kerana saya ditugaskan mengambil kedua-duanya.

"Walaupun ramai menganggap Kyrgyzstan hadir dengan pemain- pemain berfizikal besar dan tinggi tetapi saya akan cuba menjadikan dua situasi bola mati ini sebagai senjata.

"Sememangnya perlawanan pertama ini cukup penting bagi memastikan Malaysia mampu mara ke pusingan kedua," ujar Safiq.

sumber: Kosmo

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails