Pages


Thursday, November 18, 2010

Rajagobal perlukan masa

BEKAS jurulatih Sabah, Kelly Tham berpendapat Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) perlu memberikan masa yang mencukupi kepada jurulatih negara, K. Rajagobal bagi membentuk sebuah skuad mantap yang mampu menempa nama di peringkat antarabangsa.

Kelly berkata, anak-anak buah Rajagobal telah menampilkan prestasi cemerlang ketika berdepan Jepun, China dan Iran pada Sukan Asia 2010 di Guangzhou, China baru-baru ini.


Jelas Kelly, walaupun tewas dalam pertemuan dengan ketiga-tiga gergasi Asia itu, barisan negara berjaya mempamerkan semangat juang yang tinggi.

"Saya yakin Rajagobal mampu membentuk sebuah pasukan bola sepak yang mantap dalam masa dua tahun lagi.

"Pertukaran jurulatih yang kerap tidak akan berkesan. Kejayaan tidak akan datang dengan pantas, adakalanya ia mengambil masa bertahun-tahun lamanya," kata Kelly semalam.

Kelly menambah, budaya Malaysia berbeza daripada lain-lain negara dan adalah lebih mudah bagi jurulatih tempatan untuk membimbing pasukan negara.

"Perlu beri peluang kepada jurulatih tempatan yang faham dengan budaya tempatan untuk melatih pemain negara dan menyemai kejayaan dalam pertandingan-pertandingan bola sepak peringkat antarabangsa," katanya.

Untuk rekod, Malaysia pernah melayakkan diri pada temasya Sukan Olimpik 1980 selepas menewaskan Korea Selatan 2-1 dalam perlawanan kelayakan.

Bagaimanapun, sejak itu, prestasi skuad bola sepak negara dilihat mulai jatuh.

sumber: Kosmo

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails