Pages


Sunday, November 7, 2010

PBSNT cadang bina kompleks bola sepak

Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) bercadang membina sebuah kompleks bola sepak yang akan dikenali Kompleks PBSNT, bagi melahirkan lebih ramai pemain berbakat.

Kompleks yang dijangka menelan belanja kira-kira RM50 juta itu, akan dilengkapi pelbagai prasarana sukan antaranya dua padang bola sepak, asrama, bangunan pentadbiran selain gelanggang tenis sebagai aktiviti sampingan.


Yang Dipertua PBSNT, Datuk Che Mat Jusoh berkata, pembinaan kompleks itu sebagai perancangan jangka panjang Terengganu untuk melahirkan lebih ramai pemain bola sepak yang berbakat demi masa depan sukan bola sepak negeri itu.

Bagi tujuan tersebut, jelas beliau, pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan kerajaan negeri, termasuk mengenal pasti lokasi sesuai yang membabitkan keluasan kira-kira lapan hektar.

"Kita akan bincang dengan pihak kerajaan mengenai perkara ini, termasuk mengenal pasti lokasi sesuai dan jika berjalan lancar, ia akan menjadi kilang melahirkan ramai bintang bola sepak, selain menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan," katanya semalam.

Beliau memberitahu, kos pembinaannya akan ditanggung oleh PBSNT, selain mendapat sokongan menerusi dana kerajaan serta Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Rozi Mamat memberi reaksi positif terhadap penubuhan kompleks berkenaan.

Menurutnya, sudah tiba masanya Terengganu meneruskan kesinambungan kegemilangan bola sepak di negeri ini, apatah lagi ia merupakan sukan yang paling diminati ramai.

"Saya sangat setuju dengan cadangan penubuhan kompleks ini. Saya akan bincang perkara ini dengan peringkat atasan kerajaan termasuk Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said.

"Buat masa ini kita serahkan kepada kepimpinan PBSNT untuk mencari dan mengenal pasti terlebih dulu kawasan yang sesuai untuk membina kompleks tersebut," ujarnya.

sumber: Utusan

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails