Pages


Tuesday, November 2, 2010

Selangor susun skuad 2011

Amri Yahya mungkin kekal
PERSATUAN Bola Sepak Selangor (FAS) sudah membuat langkah awal bagi pembentukan barisan pemain skuad Selangor bagi menghadapi saingan musim 2011 yang akan bermula Januari depan.

Semalam, FAS telah mengadakan satu mesyuarat khas bagi menilai kesemua 23 pemain mereka musim ini sama ada akan terus dikekalkan musim depan atau dilepaskan.

Pengurus merangkap jurulatih Selangor, K. Devan bagaimanapun enggan memberi gambaran lanjut berhubung keputusan yang dibuat pada mesyuarat tersebut memandangkan ia masih belum dimuktamadkan.

"Mesyuarat tadi (semalam) berkisar tentang cadangan pemain musim ini yang akan dilepaskan serta pengambilan pemain baru bagi musim depan.


"Tapi esok (hari ini) kita akan sambung lagi perbincangan kerana mungkin ada di kalangan pemain yang kita mahu kekalkan, tidak mahu bersama kita lagi kerana sudah mendapat tawaran pasukan lain.

"Maaflah, saya tidak boleh beritahu lebih lanjut kerana segala keputusan masih belum muktamad dan ia rahsia. Biarlah FAS buat pengumuman rasmi berhubung perkara ini nanti," kata Devan ketika dihubungi Kosmo! petang semalam.

Namun menurut sumber Kosmo!, beberapa pemain utama seperti ketua pasukan, Amri Yahyah, Safiq Rahim, Amirulhadi Zainal dan Nasriq Baharom berada dalam senarai pemain yang mahu dikekalkan FAS untuk musim depan.
Bagaimanapun kedudukan mereka masih belum terjamin kerana dikhabarkan terdapat beberapa pasukan lain sudah membuat tawaran untuk mendapatkan khidmat mereka.

Selain itu, beberapa pemain lain yang dikatakan bakal dilepaskan Selangor termasuklah Farderin Kadir, Zaiza Zainal Abidin dan R. Surendren.

Selangor dikhabarkan sedang berusaha memancing beberapa pemain seperti penyerang Kelantan, Norshahrul Idlan Talaha, pemain sayap Negeri Sembilan, S. Kunanlan, pemain sayap Kedah, Baddrol Bakhtiar dan kapten Kuala Lumpur, Azidan Sarudin.

sumber: Kosmo

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails