Pages


Monday, November 8, 2010

Sathia mahu latih skuad negara

Jurulatih Kelantan, B. Sathianathan meluahkan hasrat untuk kembali membimbing skuad bola sepak kebangsaan, setelah membuktikan kemampuannya membawa negeri itu menjuarai Piala Malaysia, baru-baru ini.

Bekas jurulatih skuad kebangsaan itu berkata, beliau bersedia pada bila-bila masa untuk kembali melatih skuad kebangsaan, sekiranya diberikan peluang kedua oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

"Memang menjadi harapan semua jurulatih untuk bergelar jurulatih kebangsaan dan saya pernah berada pada posisi itu suatu ketika dahulu.


"Sekiranya FAM memberi peluang kedua, saya tidak akan lepaskan peluang tersebut, kerana saya minat untuk kembali bergelar jurulatih kebangsaan," katanya.

Sathianathan berkata, beliau tidak merendahkan kemampuan jurulatih kebangsaan ketika ini, K.Rajagobal yang disifatkannya sebagai seorang jurulatih yang berbakat.

"Saya puji langkah bijak dan berani Rajagobal mengetengahkan barisan pemain baru dan memberi peluang mereka beraksi pada Sukan Asia di Guangzhou, China," katanya.

Rajagobal terpaksa menggugurkan beberapa pemain terbaiknya ke Guangzhou, apabila sebilangan besar pemain senior mengalami kecederaan ketika menghadapi saingan sepanjang musim liga tempatan.

Kekosongan itu diisi Rajagopal dengan beberapa orang pemain baru bagi mengalas cabaran yang akan bermula hari ini. 

Malaysia dijadual bertemu Kyrgyztsan pada perlawanan pertama kumpulan A di Stadium Huagong, Guangzhou, China pukul 4 petang ini. 

Sementara itu dalam perkembangan lain, Sathianathan tetap mempertahankan kritikannya, bahawa liga Malaysia belum mencapai tahap liga profesional.

Sathianathan berkata, beliau mengkritik demikian kerana mahu melihat mutu bola sepak Malaysia dipertingkatkan demi kelangsungannya pada masa hadapan.

Selain itu, beliau juga menyedari bahawa sebilangan besar pasukan negeri dan kelab , tidak berminat untuk mengambinya sebagai jurulatih kerana tidak suka dengan sikapnya yang disifatkan panas baran.

"Dalam sukan bola sepak, kita tidak perlu bodek orang untuk mendapat tempat, sebaliknya untuk memajukan sukan ini, kita kena berterus-terang," katanya.

Sathianathan disingkirkan daripada mengemudi skuad kebangsaan oleh FAM pada awal 2009 apabila beliau mengkritik mutu bola sepak Malaysia, yang disifatkan bukan bola sepak sebenarnya.

Baru-baru ini, beliau memenangi anugerah Jurulatih Terbaik 2010 pada Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 100Plus-FAM, setelah memimpin Kelantan menjuarai Piala Malaysia buat pertama kali. - Bernama

sumber: Utusan

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails