Pages


Wednesday, November 3, 2010

TSAM: 2012 tahun tranformasi MSL


SAINGAN bola sepak Liga Super Malaysia (MSL) bakal mengalami satu transformasi baru bagi saingan musim 2012 sambil dijadikan musim transisi ke arah itu.

Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tan Sri Annuar Musa berkata, zaman bola sepak yang mengharapkan ihsan kewangan tidak akan terus bertahan lama dan sudah tiba masanya nilai MSL dipertingkatkan.

"Kita harus pastikan apakah nilai sebenar MSL supaya sektor swasta dapat masuk membuat pelaburan dan akhirnya mereka dapati bola sepak Malaysia boleh memberi pulangan yang baik.

"MSL memang mempunyai potensi sedemikian. Sekarang tajaan tahunan ialah RM18 juta. Ia boleh saya anggap di bawah nilai sebenar.


"Jadi berdasarkan perkembangan setiap pasukan bertanding ketika ini, sepatutnya nilai MSL ialah antara RM30 juta hingga RM40 juta," katanya pada majlis Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 100 PLUS- FAM 2010 semalam.

Bagi memastikan transformasi MSL musim 2012 itu berjalan seperti apa yang dirancang, Annuar berkata, setiap pasukan yang akan bertanding pada musim 2011 diingatkan lebih awal supaya dapat mempersiapkan pasukan masing- masing ke arah tersebut.

"Pada mulanya FAM mahu melakukan transformasi ini untuk musim 2011. Tetapi kita berasakan masa terlalu suntuk. Jadi musim 2011 akan dianggap sebagai musim transisi.

"Menjelang bulan April tahun depan, kita akan letakkan satu penanda aras kepada setiap pasukan ini tentang kriteria perlu mereka ada bagi memasuki MSL 2012. Jadi jangan pula beri alasan, FAM tidak beri masa kepada mereka.

"Untuk melahirkan skuad kebangsaan yang baik, kita kena ada liga yang baik dengan menghidangkan saingan kompetitif, barisan pemain import yang hebat dari luar dan serata Asia serta memiliki pasukan bertanding yang berkualiti," jelas Annuar.

Dalam perkembangan lain, Annuar yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) masih berteka-teki sama ada akan mengekalkan jawatan tersebut atau melepaskannya bagi penggal akan datang.

"Sepatutnya pemilihan akan berlangsung pada 6 November ini. Tetapi ada isu teknikal yang menyebabkan ia terpaksa ditangguhkan ke penghujung Disember depan untuk memilih barisan kepimpinan KAFA bagi tiga tahun akan datang.

"Saya lebih suka kalau ada individu yang tampil menawarkan diri untuk memajukan bola sepak Kelantan. Saya sendiri belum buat apa-apa keputusan sama ada akan mempertahankan jawatan atau sebaliknya," katanya.

sumber: Kosmo

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails