Pages


Sunday, November 28, 2010

Ujian paling berat


SEPANJANG dilantik pengurus skuad kebangsaan, mungkin inilah saat paling sukar buat Datuk Subahan Kamal - Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) - apabila sebahagian besar khidmat tonggak utama ketika ini tidak dapat digunakan akibat kecederaan.

Menjelang saingan Piala Suzuki 2010 bakal berlangsung di Jakarta, 1 Disember ini, Malaysia hilang 10 tonggak utama. Semuanya akibat kecederaan dan Subahan mengakui betapa beliau simpati melihat ketua jurulatih, K Rajagobal terpaksa memerah otak mencari barisan yang mampu membawa cabaran negara nanti.

“Memang kami berada dalam keadaan sukar ketika ini. Masalah itu lebih dirasai Rajagobal kerana beliau bertanggungjawab merencana skuad Malaysia di Piala Suzuki nanti. Tetapi selaku pengurus, saya juga turut terasa dengan apa sedang berlaku ke atas skuad kebangsaan.

“Kehilangan 10 pemain utama memang satu masalah besar. Saya yakin mana-mana jurulatih sekalipun pasti pening kepala dengan keadaan sebegini. “Kita tidak mempunyai pilihan selain bergantung harap kepada pemain muda lain seperti pemain Harimau Muda kerana itulah sebabnya mengapa kami menghantar mereka beraksi di Slovakia.

“Keadaan sekarang cukup genting tetapi kita mempunyai pemain muda yang lain dan saya yakin dengan kemampuan mereka. Saya juga yakin Rajagobal pasti mempunyai strategi bakal diterapkan nanti. Beliau seorang jurulatih bijak dan kaya dengan idea bernas,” kata Subahan.

Pada saingan Piala Suzuki 2010, Malaysia diletakkan di dalam Kumpulan A - kumpulan maut yang menempatkan juara tiga kali, Thailand dan Indonesia yang muncul naib juara di dalam tiga edisi serta Laos.

Malaysia akan membuka saingan Piala Suzuki 2010 (dulunya dikenali sebagai Piala Tiger) dengan menentang Indonesia di Stadium Gelora Bung Karno, 1 Disember ini sebelum melayan Thailand di venue sama, tiga hari selepas itu. Pertemuan Malaysia dengan Laos pada 7 Disember akan dilangsungkan di Stadium Jaka Baring, Palembang selepas venue asal, Stadium Jalak Harupat sedang menjalani kerja naik taraf.

Untuk rekod, sepanjang tujuh edisi sebelum ini, Malaysia hanya sekali berjaya melangkah ke perlawanan akhir iaitu pada 1996 tetapi ditundukkan Thailand 1-0.
Walaupun bakal mempertaruhkan ramai pemain muda, Subahan tegas mengatakan mereka tidak akan sesekali ‘makan angin’ di Jakarta sebaliknya akan cuba sedaya upaya untuk memberikan yang terbaik.

“Kita hilang ramai pemain tonggak tetapi itu bukanlah alasan. Saya akan pastikan masalah itu tidak dijadikan alasan untuk kita longlai. “Kita akan tetap memberikan yang terbaik dan saya yakin pemain muda kita pasti mahu menjadikan kejohanan ini sebagai medan untuk membuktikan kemampuan masing-masing.

“Lagipun, kalau tidak di Piala Suzuki ini, di mana lagi mereka mahu menunjukkan mereka sudah bersedia untuk memikul tanggungjawab selaku pemain bola sepak Malaysia?” kata Subahan.

sumber: Metro

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails