Pages


Saturday, September 4, 2010

Kita pulau Piala Suzuki AFF di Indonesia?

Skuad bola sepak negara mungkin terpaksa melupakan Piala Suzuki AFF, Disember ini sekiranya mereka diundi bermain dan diletak sekumpulan dengan Indonesia.


Apatah lagi jika kerajaan mengenakan dasar larangan ke negara itu gara-gara seriusnya gerakan anti-Malaysia oleh Benteng Demokrasi Rakyat (Bendera) di Kedutaan Besar Malaysia.

Kemungkinan itu kini dipertimbangkan dengan teliti oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berdasarkan perkembangan semasa di negara jiran tersebut kerana keselamatan pasukan tidak boleh dipandang ringan apatah lagi apabila berdepan ribuan penyokong fanatik tuan rumah.


Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad yang ditemui pada majlis berbuka puasa Majlis Sukan Negara di Bukit Jalil, kelmarin berkata: "Sebarang tindakan termasuk mungkin terpaksa menarik diri daripada bermain di Indonesia dalam Piala Suzuki AFF jika diundi sekumpulan mereka, perlu sentiasa selari dengan dasar semasa kerajaan Malaysia.

"Kami juga menyedari apa sahaja pertembungan pasukan kedua-dua negara walau di gelanggang sukan sama ada bola sepak mahupun badminton, sentiasa mempunyai risiko keselamatan dan mudah dicemari insiden tidak diingini.

''Jadi soal keselamatan pasukan kita akan sentiasa diutamakan.''

Bagaimanapun, jelasnya, nasib yang lebih baik mungkin menyebelahi skuad negara sekiranya majlis undian Piala Suzuki AFF pada 15 September ini di Hanoi nanti meletakkannya bermain di Vietnam - tuan rumah bersama kejohanan bola sepak dwi tahunan peringkat senior di rantau Asia Tenggara itu.

Beberapa kejadian tidak diingini yang dicetuskan penonton turut pernah meletus ketika kejohanan anjuran Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) ini yang sebelumnya dikenali sebagai Piala Tiger 2004, melibatkan perlawanan Malaysia-Indonesia sama ada di Gelora Bung Karno, Jakarta mahupun Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Skuad negara bimbingan K. Rajagobal baru sahaja mengadakan dua perlawanan persahabatan dengan kelab Al Jaish Qatar dan skuad kebangsaan Oman di Doha sebagai persediaan menghadapi Piala Suzuki AFF dari 1 hingga 29 Disember ini.

Pencapaian Malaysia ialah bergelar naib juara pada kejohanan sulung, 1996 di Singapura setelah kalah tipis 1-0 kepada Thailand dan edisi ketujuh di Phuket, dua tahun lalu menyaksikan anak buah B. Sathianathan ketika itu terkandas di peringkat Kumpulan B lagi.

sumber: Utusan

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails