Pages


Friday, September 17, 2010

Rangkuman Akhbar Piala Malaysia Perlawanan ke 2

Jadual Perlawanan

Negri Sembilan vs KL Plus
PKNS vs Kelantan
Sabah vs Terengganu
Pahang vs KL
ATM vs Johor FC
Kedah vs Perak
T-Team vs Perlis
Felda United vs Selangor

Trio penyerang taruhan T-Team - Kosmo

SELEPAS dijinakkan Selangor dengan kekalahan 1-3 pada aksi pembukaan Kumpulan D pada Selasa lalu, T-Team kini melaungkan keyakinan dan mahu menjadikan Perlis sebagai mangsa pertama pada kempen Piala Malaysia musim ini.

Keyakinan itu disuarakan sendiri ketua jurulatihnya, Che Ku Marzuki Mohd. Nor yang percaya dengan kemampuan anak buahnya untuk menewaskan Perlis di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu malam ini.

Malah, Che Ku Marzuki mengakui hanya kemenangan yang mampu memberi nafas baru kepada pasukan berstatus kelab itu dalam misi memburu tiket ke slot kalah mati.

Justeru, pengendali T-Team itu secara terbuka mengakui mereka akan mempamerkan corak permainan menyerang sepanjang 90 minit permainan dengan mempertaruhkan tiga rangkaian penyerang.

“Tiada cara lain untuk kita pergi jauh dalam kejohanan ini melainkan dengan meraih kemenangan. Kami perlukan kemenangan dan kemenangan pada perlawanan malam esok (malam ini) begitu penting.

“Jadi, kami perlu lakukan sesuatu dan mungkin kami akan melakukan serangan sepanjang perlawanan menerusi tiga penyerang,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Sebagai pertaruhan, Che Ku Marzuki yang berjaya membawa T-Team melangkah ke Piala Malaysia buat pertama kali dalam sejarah bakal membariskan tiga penyerang terdiri daripada Haris Safwan Kamal, Abdul Hadi Yahya dan Ahmad Shahril Zakaria.

“Haris dan Hadi seperti biasa akan mengetuai jentera serangan dengan mendapat sokongan daripada Shahril,” jelasnya.

Sementara itu, penolong pengurus pasukan T-Team, Amir Amiruddin Abdul Rashid percaya, kekalahan pasukan kelab itu kepada Selangor pada Selasa lalu bukanlah disebabkan kelemahan pasukan mereka.

“Kita mungkin kalah dari segi jaringan tetapi kita tidak kalah dari segi permainan. Secara keseluruhannya, pemain telah menunjukkan mutu permainan terbaik.

“Kita terpaksa bermain 10 orang sepanjang 70 minit perlawanan dan kita masih mampu menjaringkan gol. Ini membuktikan semangat tinggi yang ada pada semua pemain,” katanya.

Justeru kata Amir, dia mengharap agar aksi di Kuala Terengganu malam ini akan mendapat sokongan daripada ribuan penyokong Terengganu.

“Kita mengharapkan agar penyokong-penyokong Terengganu dan T-Team akan sama-sama berada di stadium untuk memberi sokongan kepada kami,” jelasnya.

Perak perlu kekal semangat juang - Kosmo

"KEKALKAN semangat juang yang tinggi bagi meraih mata di Alor Setar".

Begitulah kata-kata semangat daripada Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa), Datuk Zainol Padzi Paharuddin kepada para pemain sebelum bertandang ke gelanggang lawan.
 
Perak akan menentang Kedah pada aksi Kumpulan C Piala Malaysia malam ini dan Zainol berharap mereka akan mengekalkan semangat juang yang tinggi ketika seri 2-2 menentang ATM di Ipoh, Selasa lalu.

Pada perlawanan itu, Perak terpaksa beraksi selama 66 minit dengan sepuluh pemain sahaja apabila penyerangnya, Shahrizal Mohd. Saad dilayangkan kad merah pada minit ke-24.

Presiden Pafa itu percaya kesungguhan pemain akan membolehkan skuad Seladang membawa pulang sebarang mata hari ini.

"Perak akan menerima padah jika barisan serangan terlalu banyak melakukan percubaan kosong ke kubu lawan," jelasnya.

Sementara itu, jurulatih, Raja Azlan Shah Raja Shoib berkata, beliau mempunyai beberapa pilihan bagi mengisi kekosongan Shahrizal.

"Barisan serangan Seladang tetap berbisa walaupun ketiadaan Shahrizal," katanya.

Begitupun, Raja Azlan Shah terpaksa bekerja keras bagi meningkatkan keberkesanan bahagian tengah untuk mencorakkan serangan.

Sebelum ini, jurulatih terpaksa menggunakan pemain pertahanan, K. Nanthakumar bagi menggerakkan bahagian tengahnya.

"Kita kekurangan pemain tengah yang berwibawa bagi mengerakkan serangan dari bahagian tengah," kata Raja Azlan Shah.

Beliau berharap Perak tidak pulang dengan tangan kosong agar hasrat skuad Seladang ke suku akhir akan tercapai.

Selangor kian selera tambah mata - Utusan

Setelah memperoleh tiga mata dengan menewaskan T-Team 3-1 pada perlawanan pembukaan Piala Malaysia Selasa lalu, Selangor kini semakin berselera mahu mengutip tiga mata lagi pada perlawanan kedua menentang Felda United, hari ini.

Bagi mencapai hasrat itu, Selangor akan cuba meningkatkan lagi prestasi pasukan kepada yang lebih baik, berbanding perlawanan pertama. 

Jurulatih Selangor, K.Devan berkata, pasukannya menunjukkan prestasi yang memuaskan sepanjang 90 minit perlawanan menentang T-Team, walaupun bermula agak hambar pada separuh masa pertama.

"Saya akui pada babak pertama kita kurang tersusun, pemain banyak melakukan kesilapan, selain hantaran yang kurang kemas.

"Namun, pada separuh masa kedua, kita dapat lihat corak permainan lebih tersusun dan kita telah mengatur serangan serta mencipta banyak peluang.

"Jika kita dapat tingkatkan lagi prestasi daripada perlawanan ini, saya yakin dapat mengutip tiga mata lagi apabila menentang Felda United," katanya.

Selangor memperoleh kemenangan 3-1 melalui jaringan D.Surendran serta dua pemain gantian Rudie Ramli dan R.Surendran. Jaringan diperolehi pada babak kedua perlawanan iaitu pada minit ke-50, 80 dan 90.

Sementara itu,T-Team yang terpaksa beraksi dengan 10 pemain hanya mampu memperoleh satu gol selepas Mohd. Nur Aliff Zainal Abidin dilayangkan kad merah oleh pengadil perlawanan, S.Sinthana Rajan pada minit ke-25, kerana mengasari pemain Selangor Mohd. Amirulhadi Zainal di hadapan kubu pertahanan tuan rumah.

Gol pasukan T-Team diperolehi gol pada masa tambahan melalui pemain simpanan Rosli Muda yang dimasukkan pada minit ke-75.

Dalam pada itu, Ketua Jurulatih T-Team, Che Ku Marzuki Che Ku Mohd. Nor berkata, faktor utama kekalahan pada perlawanan itu adalah disebabkan terpaksa bekerja keras dengan 10 pemain di awal hingga tamat perlawanan.

"Sasaran kita pada perlawanan ini untuk dapatkan keputusan seri, namun hasrat itu tidak kesampaian apabila pemain kita menerima kad merah.

"Saya agak kecewa dengan keputusan perlawanan, namun berpuas hati dengan prestasi pemain.
"Kami akan cuba berusaha selepas ini pada perlawanan kedua nanti ketika bertemu Perlis," jelasnya.

Perlis perlu kerja keras jumpa T-Team - Berita Harian

PERLIS yang bertandang ke Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu untuk menghadapi T-Team pada saingan Kumpulan D Piala Malaysia, malam ini, perlu bekerja lebih keras sekiranya berhasrat membawa pulang sekurang-kurangnya satu mata.

Ketua Jurulatih, Yunus Alif berkata, ini kerana lawan yang bakal dihadapi itu pasti tidak akan memberikan laluan mudah apabila beraksi di gelanggang sendiri, terutama selepas dikecewakan Selangor Selasa lalu.

“Mereka (T-Team) pasti turun untuk memastikan kemenangan dan tiga mata tidak terlepas di laman sendiri, justeru pemain Perlis tidak punya banyak pilihan kecuali bekerja lebih keras, penuh semangat dan kesungguhan seperti ketika menewaskan FELDA United,” katanya menjelang pertemuan dengan skuad kendalian Che Ku Marzuki Mohd Noor, malam ini. 

Yunus berkata, berikutan prestasi memberangsangkan Selasa lalu, tiada rombakan dilakukan melainkan menyenaraikan semula penyerang utama, Ahmad Fakri Saraani dalam kesebelasan utama selepas bertindak menjadi pemain gantian ketika berdepan FELDA.

“Ahmad Fakri beraksi cemerlang termasuk menjaringkan dua daripada tiga gol pasukan, jadi dia wajar diturunkan dari mula untuk memantapkan jentera serangan,” kata Yunus. 

Kedah sasar 3 mata - Berita Harian

PENJARING gol tunggal Baddrol Bakhtiar ketika Kedah mengikat Johor FC 1-1 Selasa lalu, mahu memastikan pasukannya mengutip mata penuh apabila bertemu Perak di Stadium Darulaman pada perlawanan kedua Kumpulan C Piala Malaysia, malam ini.

Teruja dengan jaringan itu, Baddrol bagaimanapun sedikit kecewa kerana tuan rumah menjaringkan gol penyamaan lima minit sebelum tamat untuk memberikan satu mata bagi kedua-dua pasukan.  

“Saya yakin dengan kemampuan rakan sepasukan lain untuk berdepan Perak esok (malam ini) tetapi kami sedar tugas berat menanti kerana lawan juga mahu menebus kekecewaan terikat 2-2 dengan Tentera pada perlawanan pertama mereka di Ipoh.

“Saya akan berusaha merobek gawang lawan demi kejayaan Hijau Kuning tetapi siapa yang menjaringkan gol bukan masalah kerana yang penting adalah memastikan kemenangan,” kata pemain kebangsaan itu.

Menurut Baddrol, dalam saingan Liga Super, Perak berjaya mengikat tuan rumah 1-1 di Stadium Darulaman, dan ini membuka mata pemain untuk tidak memandang rendah keupayaan barisan yang dikendalikan Raja Azlan Shah Raja Shoib itu.

NS harap tuah Paroi - Berita Harian

SELEPAS mengatasi naib juara tahun lalu, Kelantan, pemain Negeri Sembilan diingatkan supaya meneruskan rentak kemenangan itu apabila melayani kunjungan KL Plus pada perlawanan kedua Kumpulan A, saingan Piala Malaysia di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, malam ini.

Jurulatih skuad Rusa, Wan Jamak Wan Hassan, berkata pemain perlu memanfaatkan sepenuhnya kelebihan gelanggang sendiri untuk mengutip mata penuh bagi meletakkan pasukan pada kedudukan yang lebih selesa.  

 Katanya, pemain tidak harus cepat berpuas hati dengan kemenangan ke atas Kelantan tempoh hari, sebaliknya menjadikannya sebagai pembakar semangat untuk terus cemerlang termasuk apabila berdepan pasukan kelab, KL Plus. 

“Saya bersyukur dengan kemenangan itu dan ia satu permulaan baik, namun pemain perlu bersikap berhati-hati apabila berdepan KL Plus malam esok (ini), kerana saya jangkakan pelawat pasti memberikan tentangan sengit selepas tewas kepada PKNS,” katanya. 



No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails