Pages


Thursday, September 23, 2010

Malaysia tetap jejak Indonesia

TIMBALAN Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tan Sri Annuar Musa berkata, skuad negara kendalian K. Rajagobal tetap akan beraksi pada kempen Piala AFF Suzuki di Jakarta, Indonesia Disember depan.

Annuar berkata, keyakinan beliau berdasarkan keupayaan negara republik itu dalam menganjurkan beberapa acara berprestij seperti badminton.


"Saya yakin pihak Persatuan Sepak Bola Indonesia (PSSI) akan mengambil langkah-langkah wajar dalam memastikan keselamatan para pemain bola sepak kita.

"Selain itu, keyakinan saya turut bersandarkan kepada keupayaan mereka dalam menganjurkan beberapa kejohanan berprestij dunia termasuk badminton dan sebagainya, jadi kita harus memberi kepercayaan kepada mereka dalam menganjurkan pertandingan itu (Piala AFF Suzuki)," katanya di Kuala Lumpur semalam.

Beliau diminta mengulas mengenai kebimbangan skuad negara ke Jakarta berikutan gerakan anti-Malaysia dilancarkan oleh Benteng Demokrasi Rakyat (Bendera) di negara berkenaan baru-baru ini.

Katanya, badan bola sepak dunia, Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) boleh mengambil tindakan ke atas Indonesia sekiranya mereka gagal memastikan keselamatan para pemain dan pegawai sewaktu kejohanan itu sedang berlangsung.

Ditanya mengenai sasaran untuk skuad kebangsaan, Annuar secara peribadi tidak meletakkan sasaran kepada skuad bola sepak negara tetapi mahu mereka memperbaiki pencapaian lalu.

"Tiada ada sasaran spesifik tetapi saya mahu mereka memperbaiki pencapaian lepas. Kalau permainan kita kurang sewaktu memenangi pingat emas dalam Sukan SEA, setidak-tidaknya, permainan kita lebih baik daripada negara-negara ASEAN," katanya.

Pada Piala AFF Suzuki yang bermula 1 hingga 29 Disember depan, Malaysia diundi dalam Kumpulan A bersama Indonesia, Thailand dan pemenang kumpulan pusingan kelayakan.

Kumpulan B pula disertai oleh juara bertahan, Vietnam, Singapura, Myanmar dan naib juara kumpulan pusingan kelayakan.

Dua pasukan teratas dalam setiap kumpulan akan mara ke peringkat separuh akhir yang dijalankan secara timbal balik pada 15 dan 16 Disember dan 18 dan 19 Disember.

Perlawanan akhir secara timbal balik akan diadakan pada 26 dan 29 Disember.

sumber: Kosmo

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails