Pages


Friday, September 24, 2010

Peluang Safee kembali pikat hati Rajagobal

SELEPAS tiga hari menjalani latihan, skuad kebang- saan bimbingan K. Rajagobal bakal diuji juara Liga Perdana, Felda United pada aksi persahabatan di padang Wisma FAM, Kelana Jaya malam ini.

Ia pentas terbaik buat 24 pelatih skuad kebangsaan memikat hati Rajagobal supaya menyenaraikan mereka dalam skuad 20 pemain ke Kejohanan Undangan Piala Millenium Thang Long di Ho Chi Minh City, Vietnam dari 28 September ini hingga 2 Oktober depan.


Bagi penyerang Selangor, Safee Sali, perlawanan malam ini menjadi medan ujian terbaik untuk dia membuktikan bahawa dirinya masih layak untuk bergelar pemain kebangsaan setelah tersisih lama sebelum ini.

"Selepas turun berlatih selama tiga hari, tiada masalah sangat tetapi saya tetap memerlukan sedikit masa lagi untuk meningkatkan tahap keserasian bersama pemain lain.

"Perlawanan menentang Felda ini juga sebenarnya bagus untuk para pemain menunjukkan prestasi masing-masing termasuk saya sendiri. Harap saya dapat menjaringkan gol," katanya.

Safee, 26, yang meledak satu gol ketika membantu Selangor menewaskan Felda United 4-1 pada 17 September lalu perlu bersaing dengan Norshahrul Idlan Talaha, Ahmad Shakir Md. Ali dan Izzaq Faris Ramlan untuk bergelar penggempur utama skuad kebangsaan.

Sementara itu, Rajagobal berkata, perlawanan menentang Felda United malam ini diharap menjadi ujian terbaik untuk melihat prestasi pemain sebelum mereka bertemu Vietnam pada aksi sulung di Stadium Thong Nhat, Selasa depan.

"Sekurang-kurangnya dapat juga saya mengatur satu perlawanan ujian sebelum kita berlepas ke Vietnam, Ahad ini. Saya akan beri peluang kepada semua pemain menunjukkan aksi mereka," kata Rajagobal.

Selain Vietnam, skuad kebangsaan akan bertemu Iran pada 30 September dan Singapura pada 2 Okto- ber untuk baki perlawanan kejohanan yang membabitkan empat pasukan bawah 23 tahun itu.

sumber: Kosmo

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails