Pages


Sunday, September 19, 2010

Rangkuman Piala Malaysia 19 September 2010

Yunus tidak puas hati

KEKAGUMAN ketua jurulatih Perlis, Yunus Alif terhadap persembahan baik para pemain tidak berpanjangan, lapor FAIZAL NAZARUDDIN.

Ia gara-gara kekalahan 0-4 Perlis kepada T-Team pada aksi kedua Kumpulan D kempen Piala Malaysia di Stadium Ismail Nasiruddin Shah kelmarin.

Menurut Yunus, dia kecewa apabila para pemain gagal menunjukkan persembahan sebenar pada pertemuan itu sehingga menyebabkan gawang Perlis mudah dibolosi.

Katanya, sikap para pemain yang ambil mudah terhadap permainan masing-masing menjadi punca kekalahan itu.

"Ada waktu bola perlu didorong kepada pemain lain, dia terus lambung, begitu juga kita perlu bermain pantas, pemain ini suka simpan bola lama.

"Saya duduk ditepi padang memberi arahan tetapi mereka macam tak dengar dan sering mengikut hati serta ambil mudah permainan malam itu," katanya.

Yunus berkata, kekecewaan pemain makin parah pada perlawanan itu selepas Ahmad Fakri Shaarani gagal memanfaatkan sepakan penalti ketika itu Perlis ketinggalan dua gol.

"Akibatnya, segala perancangan dan fokus para pemain menjadi teruk sehingga kita dibolosi empat gol sehingga tamat permainan," ujarnya.

Belum masa berpesta
JURULATIH T-Team, Che Ku Marzuki Che Ku Mohd. Nor enggan terlalu mendabik dada mengenai kemenangan besar 4-0 ke atas bekas juara 2004, Perlis pada aksi Kumpulan D kempen Piala Malaysia kelmarin.

Sebaliknya, Che Ku Marzuki menganggap kejayaan meraih tiga mata itu sebagai pembakar semangat kepada anak buahnya untuk terus memburu kemenangan, sekali gus meletakkan T-Team dalam kedudukan terbaik peringkat kumpulan.

Pada aksi di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu itu, Haris Safwan muncul wira tuan rumah apabila meledak hatrik sementara satu lagi gol dijaringkan pemain berbakat, Rosli Muda.

Kemenangan itu meletakkan T-Team di kedudukan kedua kumpulan dengan tiga mata, berkongsi mata dengan Perlis sementara Selangor selesa mendahului dengan enam mata.

"Pemain telah berjanji akan menebus kekalahan kepada Selangor tempoh hari dan malam ini (kelmarin), mereka telah buktikan.

"Ini bukan soal kemenangan besar, tetapi apa yang membuatkan saya bangga adalah semua posisi dalam pasukan ini telah berfungsi dengan sewajarnya. Setiap peluang digunakan untuk menjaringkan gol," jelas Che Ku Marzuki ketika ditemui selepas perlawanan.

Malah, Che Ku Marzuki juga memuji persembahan Haris yang kembali menemui penyudah terbaiknya selepas melalui musim sukar dalam Liga Super.

"Saya akui, dia (Haris) telah melalui musim yang sukar dengan aksi tidak menentu pada kempen Liga Super. Namun, kini dia telah kembali dan saya harap sentuhan Haris dapat dikekalkan untuk memberi kelebihan kepada pasukan.

"Ketangkasan penjaga gol, Syamsuri Mustafa juga perlu diberikan kredit kerana kejayaannya menafikan sepakan penalti pasukan lawan," ujarnya.

Dalam pada itu, Che Ku Marzuki yakin kemenangan kelmarin akan membuka peluang baru kepada skuad kendaliannya untuk pergi lebih jauh dalam saingan Piala Malaysia.

"Ini adalah pentas Piala Malaysia pertama kami dan semangat pemain juga begitu tinggi. Saya harap, dengan semangat ini, kami mampu melangkah lebih jauh sebelum melakar sejarah baru buat pasukan ini," tambahnya lagi.

Syed Adney hero The Red Warriors

KETANGKASAN penjaga gol Kelantan, Syed Adney Syed Hussein (gambar) menepis bola sepakan penalti pada saat-saat akhir perlawanan berjaya menyelamatkan pasukan itu daripada berputih.

Pada aksi menentang Selangor PKNS di Stadium MBPJ, Kelana Jaya kelmarin, Kelantan berjaya membawa pulang tiga mata selepas menang 1-0.

Pengurus Pasukan Kelantan, Azman Ibrahim berkata, beliau mengucapkan tahniah kepada Syed Adney apabila berjaya menyelamatkan sepakan penalti kapten pasukan PKNS, Fadhil Mohd. Hashim pada minit ke-90.

Menurutnya, The Red Warriors mungkin tidak berada di tangga ke dua Kumpulan A selepas dua perlawanan sekiranya gagal mengutip tiga mata penuh.

"Kelantan memang lega walaupun mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas PKNS dalam perlawanan tersebut," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Dalam pada itu, beliau juga berbangga dengan semangat juang yang ditunjukkan oleh kesebelasan pemain apabila mereka tetap bermain dengan bersungguh-sungguh untuk memburu gol.

Katanya, semangat tinggi yang ditunjukkan oleh pemain membuah hasil apabila penyerang, Akmal Rizal Rakhli menjaring gol pada minit ke-73.
 
"Kelantan sepatutnya mencipta kemenangan dengan jaringan lebih besar tetapi banyak peluang keemasan di hadapan pintu gol lawan gagal disempunakan dengan baik oleh pemain," ujarnya.

Dalam pada itu, Azman mengakui jentera penyerang Kelantan sukar merobek gol lawan dalam dua perlawanan sebelum ini.

Sehubungan itu, katanya, beliau percaya Ketua Jurulatih Kelantan, B. Sathianathan dapat membuat percaturan lebih berkesan bagi menghadapi perlawanan selepas ini.

Selain itu, Azman berkata, empat pasukan dalam kumpulan A masih mempunyai peluang yang seimbang bagi merebut dua tempat terbaik selepas dua perlawanan sebelum ini.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails