Pages


Tuesday, September 28, 2010

Persiapan skuad Harimau Muda pincang hadapi Mikulas

SKUAD bola sepak bawah 21 tahun kebangsaan, Harimau Muda A akan beraksi dalam perlawanan kelima di Slovakia bertemu Tatran Liptovsky Mikulas hari ini dalam keadaan yang serba kekurangan.

Mereka kehilangan lapan tonggak utama iaitu kapten, K. Gurusamy, Muslim Ahmad, Izzaq Faris Ramlan, Mahali Jasuli, Gary Steven Robbat, Fandi Othman, Fadhli Shas dan Zamir Selamat.


Enam pemain terbabit kini berada di Vietnam kerana tugasan dengan skuad kebangsaan pada Piala Eximbank Millenium Thang Long 2010 manakala Gurusamy dan Zamir pula di Malaysia kerana tidak disenaraikan untuk skuad 20 pemain ke Vietnam.

Jurulatih Harimau Muda A, Ong Kim Swee berkata, dia berharap skuad bimbingannya itu tidak mengalami kekalahan teruk pada aksi menentang Mikulas sambil berharap semua pihak supaya realistik.

"Jika tiada seorang atau dua pemain utama, saya tak rasa ia satu masalah. Tapi jika lapan pemain utama tiada sekali gus, pasti ia sesuatu tugas yang sukar.

"Tapi saya harap baki 17 pemain yang ada akan menampilkan tahap kesungguhan dan semangat juang yang tinggi pada perlawanan ini.

"Jika mereka dapat kekalkan fokus dan disiplin sewaktu perlawanan ketiga menentang Bodva Moldava minggu lalu, saya percaya kita boleh beri saingan kepada Mikulas," katanya ketika dihubungi Kosmo! di Slovakia semalam.

Selepas empat perlawanan, Harimau Muda A telah mencatat dua keputusan seri dengan FC Petrazalka (2-2) dan Moldava (1-1) serta dua kali tewas kepada Ruzomberok B (1-3) dan Slovan Duslo Sala (1-2).

Rombakan besar yang terpaksa dilakukan Kim Swee pastinya barisan pertahanan apabila dia kehilangan keempat-empat pemain di posisi tersebut iaitu Mahali, Muslim, Fadhli dan Fandi.

"Saya akan cuba menggandingkan Faizal Muhammad dan Amir Saidin di bek tengah, Wan Zack Haikal Wan Nor terpaksa diturunkan ke bek kanan manakala Affize Faisal Mamat dicuba untuk bek kiri.

"Bagi jentera tengah dan serangan rasanya tiada masalah," ujarnya.

sumber: Kosmo

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails