Pages


Tuesday, September 28, 2010

Peluang anak Melaka

PERSATUAN Bolasepak Melaka (Mafa) membuka peluang kepada jurulatih tempatan menabur khidmat membimbing skuad terbabit musim depan selepas berada di dua tangga terbawah liga Perdana musim ini.
Usaha terbabit antara langkah awal skuad berkenaan membuka dimensi baru perjuangan pasukan itu bagi mengelak terus dianggap skuad belasahan lawan sepanjang aksi liga musim 2011.

Pengurus pasukan Melaka, Abd Malik Kasim berkata , Mafa kini membuka ruang kepada jurulatih yang berminat melatih skuad berkenaan termasuk anak jati Hang Tuah mahupun pembimbing dari luar.


Katanya, mereka yang berminat boleh memohon kepada Mafa dengan kadar segera sebelum panel pemilihan menentukan kedudukan mereka dengan keutamaan kepada jurulatih yang memiliki misi dan visi terbaik sahaja bakal dipilih.

Menurutnya, Mafa juga akan memberi peluang luas kepada bakal jurulatih menyenaraikan pilihan sesuai sambil semua pemain musim ini juga berpeluang beraksi semula jika mampu menarik minat pembimbing terbabit.

Sementara itu, Mafa memberi peluang kepada bekas bintang kelahiran Hang Tuah yang kini bersara sebagai pemain untuk mencurah bakti bersama pasukan itu.

“Mereka termasuk bekas penyerang kebangsaan Norizam Ali Hasan, Samsurin Abd Rahman, Mohd Noor Derus, Sapian dan Mazlan Wahid serta bintang lain yang berminat untuk mencurah idea mereka kepada kebaikan pasukan.

“Malah, Mafa mengalu-alukan bekas pemain lain untuk bersama-sama menyuntik keupayaan bagi membolehkan Melaka menyerlah musim 2011 kelak,” katanya.

Melaka musim ini dibimbing bekas penyerang kebangsaan Rahim Abdullah yang disisihkan Mafa ketika skuad berkenaan kelihatan semakin meningkat dan tampuk kepimpinan kemudian diserah kepada pembantunya Mahathir Taha.

Bagaimanapun, skuad terbabit gagal bertahan dan terlepas peluang ke suku akhir Sukan Malaysia (Sukma XIII) di Melaka dan terjerumus di tangga kedua terbawah liga.

Melaka meraih pencapaian terbaik apabila muncul juara liga 1983 di bawah kendalian jurulatih Halim Darimi ketika era pasukan ketika itu diwakili Datuk Soh Chin Aun, Rahim Abdullah, G Torairaju, Azmi Hasan, Akop Itam dan Jantan Ali.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails