Pages


Thursday, September 23, 2010

PBNS rancang lakukan rombakan besar-besaran

KETIKA kedudukan mengenai pemain import musim depan belum diputuskan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Persatuan Bola Negeri Sembilan (PBNS) merancang melakukan rombakan besar-besaran dalam pengurusan pasukan bagi memastikan prestasi skuad itu musim depan terus cemerlang.

Menteri Besar merangkap Presiden PBNS, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, selain melantik pengurus pasukan baru berstatus sepenuh masa, pihaknya juga akan cuba memancing ramai pemain berkaliber tempatan untuk diserapkan dalam skuad Rusa.


PBNS, katanya, sedang meneliti calon pengurus itu manakala beberapa pemain berpengalaman tempatan juga sudah disenarai pendek untuk memperkuatkan Negeri Sembilan. 

Memandangkan saingan musim ini belum lagi berakhir dan ramai pemain terbabit perlu memberi tumpuan kepada tugasan terhadap pasukan yang diwakili, tiada kata putus dibuat tetapi ramai menyatakan minat untuk menyarung jersi Negeri Sembilan musim depan, katanya selepas jamuan Aidilfitri di kediaman Pengarah Jabatan Kerja Raya Negeri Sembilan di Seremban, semalam.

Mengulas mengenai prestasi Negeri Sembilan pada saingan Piala Malaysia yang memasuki pusingan kedua 3 Oktober ini, Mohamad melahirkan keyakinannya terhadap skuad bimbingan Wan Jamak Wan Hassan itu untuk mempertahankan kejuaraan piala berprestij itu.

Walaupun dibarisi ramai pemain muda selain tidak dapat menggunakan khidmat penyerang, Mohd Zaquan Adha Abdul Radzak yang cedera, Mohamad menganggap mereka berjaya mempamer persembahan membanggakan dengan dua kemenangan dan satu seri untuk mengumpul tujuh mata dan tangga teratas Kumpulan A.

Jika semangat, komitmen dan disiplin ini dikekalkan, saya yakin Negeri Sembilan mampu ke puncak saingan dan mempertahankan kejuaraan, katanya.
Negeri Sembilan menanti kunjungan Kelantan pada saingan pusingan kedua di Paroi 3 Oktober ini dan kemenangan ke atas skuad B Sathianathan bakal mencerahkan peluang ke peringkat suku akhir.

sumber: Berita Harian

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails