Pages


Wednesday, October 20, 2010

Hijau Kuning ada kelebihan: Ahmad

BERDASARKAN rekod pertemuan musim ini, Kedah memiliki kelebihan berbanding Kelantan - lawan separuh akhir Piala Malaysia - dan Hijau Kuning mahu meneruskan rentetan itu, seperti yang dilakukan ketika menyekat Red Warriors pada final FA sebelum ini.

“Sebelum ini, kita pernah bertemu Kelantan pada separuh akhir Piala FA dan mengatasi mereka apabila mengikat mereka 0-0 di Alor Setar dan 1-1 di Kota Bharu untuk layak ke akhir berdasarkan jaringan di tempat lawan,” kata pengendali Kedah, Ahmad Yusoff. 


Ahmad menyifatkan pertemuan dengan Kelantan pada perlawanan separuh akhir pertama di Stadium Darul Aman esok, sebagai buku bertemu ruas dan peluang kedua-dua pasukan seimbang walaupun barisan B Sathianathan dilihat sedang berada di puncak selepas menyingkirkan juara Liga Super Selangor.  

“Ini harus membuka mata semua pemain untuk beraksi bermati-matian tetapi Kedah mungkin sedikit pincang selepas kehilangan dua tonggak pertahanan akibat kad kuning dan merah selain V Thirumurugan dan Fazliata Taib yang masih cedera.

“Ini menyukarkan kami dan pemain tiada pilihan lain kecuali menang kerana inilah peluang terbaik Kedah untuk melayakkan diri ke perlawanan akhir Piala Malaysia selepas kali terakhir melakukannya pada 2008,” kata Ahmad.

Menurutnya, dari segi mental, anak buahnya memiliki kelebihan walaupun lawan diperkuatkan beberapa penyerang kebangsaan serta bekas pemain kebangsaan.

“Kedah juga memiliki pemain berwibawa untuk menyaingi kekuatan lawan dan saya berpesan kepada pemain untuk tidak melakukan kesilapan atau dihukum jentera serangan lawan,” katanya.

Ahmad berkata, dia mungkin terpaksa melakukan sedikit rombakan untuk memperkuatkan benteng pertahanan bagi menyerap asakan Indra Putra Mahyudin dan Norfarhan Muhammad sambil bergantung kepada kelincahan Baddrol Bakhtiar dan Khyril Muhymeen Zambri untuk merobek gawang Kelantan. 

sumber: Berita Harian

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails