Pages


Wednesday, October 27, 2010

FAM diminta jamin tahap keselamatan

PENYOKONG Negeri Sembilan akan tetap membanjiri Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini bagi memberi sokongan padu kepada pemain pasukan itu sekali pun ada kebimbangan terhadap tahap keselamatan mereka selain kenaikan harga tiket yang diumumkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Timbalan Presiden Kelab e-Penyokong Bola Sepak Negeri Sembilan (n9futbol.com) Mohd Faidzul Mohd Noh, berkata walaupun ramai di kalangan mereka bimbang dengan tahap keselamatan selain terpaksa membayar harga tiket yang lebih tinggi, tetapi demi kepentingan pasukan, mereka akan tetap pergi ke stadium memberi sokongan.

Katanya, pihaknya berharap FAM dapat memberi jaminan tahap keselamatan kepada penyokong Negeri Sembilan bagi memastikan harga tiket dibeli itu berbaloi dan mereka dapat menyaksikan perlawanan tanpa sebarang kebimbangan.
“Pada dasarnya kami kurang bersetuju dengan tindakan FAM menaikkan harga tiket kerana menyifatkan ia sesuatu yang kurang rasional dan ia dipercayai lebih menjurus kepada kepentingan sendiri berbanding usaha menarik lebih ramai penyokong ke stadium.

“Bagaimanapun demi kepentingan pasukan, penyokong Negeri Sembilan tetap akan membeli tiket dan pergi ke stadium memberi sokongan memastikan Negeri Sembilan dapat mengekalkan kejuaraan Piala Malaysia buat kali kedua berturut-turut,” katanya di Seremban, semalam.

Sementara itu, peminat di Negeri Sembilan boleh mendapatkan tiket yang dijual mulai petang semalam di Wisma Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) di Jalan Rahang Seremban selain di kaunter tiket Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, hari ini sehingga Khamis bermula jam 10 pagi sehingga 5 petang manakala pada Jumaat mulai 10 pagi sehingga 12 tengahari.

sumber: Berita Harian

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails