Pages


Monday, October 11, 2010

Piala Malaysia: Suku Akhir 2010

Selangor sedia ratah Kijang

SELANGOR mahu menggunakan sepenuhnya kelebihan beraksi di gelanggang sendiri untuk membenam naib juara musim lalu, Kelantan pada aksi suku akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Shah Alam, malam esok.

Justeru, Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Datuk Hamidin Mohd. Amin (gambar) menggesa para penyokong Red Giants hadir beramai-ramai ke stadium supaya sorakan mereka tidak ditenggelami penyokong lawan.

“Kita tahu penyokong Kelantan memang ramai di Lembah Klang ini. Jadi saya harap penyokong Selangor sendiri akan turun bagi memberi semangat kepada para pemain kita.

“Selangor memerlukan kemenangan selesa pada perlawanan pertama ini supaya kita boleh tampil lebih yakin pada perlawanan kedua di Kota Bharu, Jumaat ini,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Bagi memastikan tiada kesesakan berlaku di kaunter tiket malam esok, Hamidin memberitahu, pihak FAS akan menjual tiket perlawanan tersebut bermula pukul 9 pagi esok sehinggalah ke hari perlawanan.

“Saya harap para penyokong Selangor mahu pun Kelantan yang berada di sekitar Shah Alam dapat membeli tiket lebih awal. Harga tiket masih sama iaitu RM10 bagi dewasa dan RM5 bagi kanak-kanak bawah 12 tahun.

“Pada masa yang sama, kita turut menjual tiket berharga RM5 bagi perlawanan Selangor bertemu Singapura untuk Piala Sultan Selangor 2010 yang akan berlangsung di Stadium Shah Alam, Sabtu ini,” jelas Hamidin.

Selangor layak ke suku akhir selaku juara Kumpulan D selepas menang kesemua enam perlawanan untuk mengutip 18 mata maksimum tetapi Hamidin mahu para pemain mengambil iktibar tragedi musim lalu.

“Musim lalu juga kita mudah menjuarai saingan peringkat kumpulan tetapi akhirnya terkandas di suku akhir selepas tewas menerusi sepakan penalti kepada Terengganu.

“Jadi saya harap semua pemain sudah mengambil iktibar apa yang berlaku itu dan bersiap sedia dari segi fizikal dan mental untuk menyingkirkan Kelantan,” tegasnya.

Pada aksi Liga Super musim ini, Selangor dan Kelantan terikat tanpa jaringan di Kota Bharu sebelum turut seri 1-1 pada perlawanan pusingan kedua di Shah Alam.

sumber: Kosmo

Pemain NS perlu gandakan usaha: Wan Jamak

SELEPAS mengesahkan tempat ke suku akhir, pemain Negeri Sembilan digesa terus menggandakan usaha bagi memastikan perjalanan pasukan untuk ke kemuncak saingan Piala Malaysia musim ini, tidak tersekat.

Sehubungan itu, jurulatih Wan Jamak Wan Hassan, mengingatkan pemain supaya bersedia daripada fizikal dan mental bagi perlawanan suku akhir pertama menentang Perlis, di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, malam esok.

Menurutnya, selain perlu memastikan kemenangan, Negeri Sembilan juga perlu memanfaatkan kelebihan gelanggang sendiri dengan mendapatkan modal jaringan besar sebelum perhitungan di gelanggang lawan.

Bekas pengendali kebangsaan itu juga mahu penyerang, Norizam Salaman dan L Ragesh meningkatkan ketajaman untuk membantu kemenangan kerana setakat ini, gol Negeri Sembilan banyak disumbangkan pemain tengah dan pertahanan.

“Saingan suku akhir lebih sukar kerana lawan pasti mempelbagaikan strategi untuk mencapai kemenangan,” katanya yang mengakui tidak akan melakukan banyak perubahan pemain kerana masalah kecederaan beberapa tonggak.

Namun Wan Jamak yakin, kejayaan membenam PKNS 3-1 malam kelmarin, menyuntik semangat dan keazaman baru dalam pasukan itu untuk menghadapi Perlis sebelum bertandang ke Kangar nanti

 sumber: Beita Harian

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails