Pages


Monday, October 4, 2010

Satu slot ke suku akhir Piala Malaysia telah sah

SELANGOR mengekalkan rekod kemenangan sempurna sekali gus menjadi pasukan pertama menempah tiket suku akhir Piala Malaysia selepas menewaskan T-Team 2-1 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu malam tadi.

Walaupun ketinggalan 0-1 hasil jaringan penyerang T-Team, Mohd Haris Safwan pada minit ke-23, anak didik K Devan bangkit dengan menjaringkan dua gol menerusi Mohd Amirulhadi Zainal (m42) dan Mohd Safee Sali (m65).

Dalam satu lagi saingan Kumpulan D, Felda United terus malang apabila mengutip kekalahan keempat berturut-turut selepas ditewaskan Perlis 5-0 di Stadium KLFA, Cheras. 

Penyandang juara, Negeri Sembilan pula terus mengorak langkah memburu tempat ke suku akhir Piala Malaysia apabila mengutip mata kelapan selepas seri 2-2 bertemu Kelantan dalam saingan Kumpulan A di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam tadi.

Tuan rumah membuka jaringan menerusi Shahurain Abu Samah pada minit ke-23 diikuti sepakan penalti Abdul Halim Zainal (m62) tetapi Kelantan bangkit menerusi Zainal Fitree Ishak (m67) dan Akmal Rizal Rakhli (m68).

Dalam satu lagi saingan kumpulan sama, peluang PKNS ke suku akhir kembali cerah apabila menewaskan KL Plus 3-2 di Stadium MBPJ, Kelana Jaya untuk berada di tangga kedua dengan enam mata, manakala Kelantan ketiga dengan lima mata.

Saingan Kumpulan B pula menyaksikan Terengganu bangkit mengutip tiga mata di Stadium Darulmakmur, Kuantan selepas menewaskan Pahang 2-0 hasil jaringan Mohd Ashaari Samsuddin (m17) dan Wan Mohd Aliff Wan Jasmi (m23).

Di Stadium Likas, tuan rumah Sabah merampas kedudukan teratas kumpulan selepas menewaskan Kuala Lumpur 3-2 hasil jaringan Mohd Afif Aminuddin (m5), Zainizam Marjan (m20) dan Mohd Farid Idris (m90).

Dalam saingan Kumpulan C antara Kedah dan Johor FC yang masing-masing turun ke Stadium Darulaman berbekal lima mata, berakhir dengan keputusan seri tanpa jaringan. Perak yang berkunjung ke Stadium Selayang pulang dengan tiga mata berharga selepas menang tipis 1-0 ke atas Tentera.

sumber: Berita Harian (tajuk edit)

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails