Pages


Tuesday, October 26, 2010

Johor FC kecewa mutu pengadilan

Johor FC kecewa kerana gagal melakar sejarah untuk beraksi pada pentas final Piala Malaysia apabila kalah kepada Negeri Sembilan di Stadium J.Corp, Pasir Gudang, kelmarin sambil mendakwa mutu pengadilan berat sebelah.

Jurulatih Johor FC, Azuan Zain berkata, secara keseluruhan pemainnya mempamerkan rentak perlawanan yang baik dan agresif.


Namun, katanya keputusan pengadil yang tidak menyebelahi pasukannya, memusnahkan impian Johor FC untuk mencatat sejarah layak pertama kali ke perlawanan akhir. 

"Beberapa keputusan pengadil agak meragukan,'' katanya.

Azuan menambah, perlawanan penting seperti itu sepatutnya dikendalikan oleh pengadil yang lebih berpengalaman, supaya mutu pengadilan lebih baik tanpa ada keputusan yang meragukan.

Dalam pada itu, beliau tetap berpuas hati dengan komitmen anak buahnya yang memberikan saingan walaupun Johor FC terpaksa beraksi dengan 10 orang pada 10 minit terakhir.

Kemenangan yang memihak kepada Negeri Sembilan kelmarin, sekali gus melayakkan skuad di bawah kendalian Wan Jamak Hassan bertemu Kelantan di perlawanan akhir Sabtu ini. 

Sementara itu, Wan Jamak gembira dengan persembahan bertenaga anak buahnya, sehingga membenam Johor FC 2-0.

Mohd. Shukor Adan meledak gol pertama pada minit ke-36, manakala Shahurain Abu Samah menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-61. 

"Corak permainan kedua-dua pasukan pada malam ini berubah, bagaimanapun kita dapat mengawal permainan dengan baik. Saya lihat mereka bermain tanpa tekanan.

"Akhirnya kita berjaya meraih apa yang kita hajatkan, ia juga atas sokongan peminat," kata Wan Jamak.

sumber: Utusan

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails