Pages


Thursday, October 21, 2010

Krisis penjaga gol gugat persiapan skuad Sukan Asia

KRISIS penjaga gol kini melanda skuad bawah 23 kebangsaan yang jelas menyentak persiapan mereka bagi Sukan Asia yang berbaki tiga minggu sebelum bermula di Guangzhou, namun pengendali, K Rajagobal enggan menekan butang panik.

Penjaga gawang Terengganu, Mohd Sharbinee Allawee dilanda kecederaan bahu ketika beraksi dalam suku akhir menentang Kedah tempoh hari dan dijangka perlu berehat selama dua minggu manakala penggantinya, Mohd Farizal Marlias tidak beraksi buat Perlis dalam kempen Piala Malaysia selepas baru pulih daripada kecederaan muka yang menyaksikannya berehat selama tiga bulan.


Begitu pun, Rajagobal tetap menyenaraikan kedua-dua pemain dalam senarai 30 pelatih yang memulakan latihan pusat kelmarin, dengan Khairul Fahmi Che Mat yang bebas kecederaan akan menyertai skuad sebaik pembabitannya dalam kempen Piala Malaysia dengan Kelantan berakhir

“Saya belum mendengar apa-apa laporan mengenai kecederaan Sharbinee. Kami akan melihat keadaannya ketika dia melaporkan diri bagi latihan pusat.

“Farizal sudah pulih berlatih tetapi belum cergas sepenuhnya. Saya juga memanggil Zamani kembali dan dia adalah antara tiga senior bagi Sukan Asia nanti,” katanya.

Dalam pada itu, pertahanan tengah, Norhafiz Zamani Misbah kembali disenaraikan dalam skuad bayangan ke Guangzhou, dengan kapten skuad senior yang beraksi buat KL PLUS itu mengisi salah satu daripada tiga slot pemain melebihi umur 23 tahun.

Pemain menjalani latihan di Wisma FAM sehingga 4 November dengan senarai akhir pemain bertolak ke Guangzhou pada 5 November ini.

sumber: Berita Harian

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails