Pages


Wednesday, October 20, 2010

Sekitar Separuh Akhir Piala Malaysia


Kekuatan seimbang - Sathia

"PELUANG kami seimbang."Begitulah pendapat ketua jurulatih Kelantan, B. Sathianathan ketika ditanya mengenai pertemuan dengan Kedah pada perlawanan separuh akhir pertama di Stadium Darul Aman, Alor Setar malam ini.

Menurut bekas jurulatih kebangsaan itu, peluang yang dimiliki oleh kedua- dua pasukan seimbang walaupun Kedah kehilangan beberapa tonggak utama bagi perlawanan tersebut.

Katanya, skuad Hijau Kuning itu masih mempunyai pemain muda berwibawa untuk diturunkan bagi menggantikan tonggak utama mereka.

Sehubungan itu katanya, beliau mengharapkan anak-anak buahnya dapat mempamerkan aksi cemerlang seperti persembahan ketika menewaskan Selangor 3-0 dalam perlawanan kedua suku akhir di Kota Bharu sebelum ini.

"Saya difahamkan, mereka kehilangan beberapa tonggak utama, namun pemain gantian mereka tidak kurang hebatnya. Saya yakin kita tetap mempunyai peluang pada perlawanan ini. 

"Untuk itu kita akan turun berjuang habis-habisan dan tidak akan memberikan laluan mudah buat pasukan Kedah meskipun beraksi di tempat lawan," katanya.

Menurut Sathianathan, beliau juga berharap agar jentera serangan pasukannya dapat menggunakan setiap peluang yang dimiliki sebaik mungkin untuk mencari bekalan selesa sebelum mengharungi aksi kedua di Kota Bharu, Sabtu ini.
  
Lebah waspada muslihat Wan Jamak

KREDIBILITI Wan Jamak Wan Hassan selaku pengendali skuad Negeri Sembilan sememangnya tidak boleh dipertikai.

Berkemampuan menukar seratus peratus corak persembahan skuad Rusa semasa beraksi di tengah padang dalam perlawanan-perlawanan sebelum ini menghadirkan resah buat pasukan Johor FC apabila kedua-dua pasukan turun membuat perhitungan pada sepa- ruh akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi malam ini.

Dendam ketika ditunjukkan jalan keluar oleh lawan yang sama dengan agregat 7-5 pada saingan Piala FA lalu masih tersimpan di hati pemain dan penyokong Sang Lebah, justeru hanya kemenangan pada pertemuan kali ini sahaja mampu mengubat kekecewaan itu.

Pengurus Johor FC, Faizal Abdullah berkata, walaupun mereka dianggap pasukan underdog, beliau yakin barisan Sang Lebah berupaya melakar keputusan mengejutkan pada perlawanan malam ini terutama dalam usaha memburu gol di tempat lawan, sekali gus mencerahkan peluang untuk layak ke final buat kali pertama.

“Kita memang sedia maklum Wan Jamak memang banyak tipu muslihat manakala pasukan Negeri Sembilan juga mempunyai ramai pemain yang berpengalaman.

“Justeru, setiap pemain Johor FC diingatkan supaya jangan bertindak mengikut emosi dan sentiasa akur dengan arahan jurulatih, Azuan Zain,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Menurut Faizal, sekiranya gagal mencatatkan kemenangan ataupun seri pada perlawanan malam ini, Sang Lebah wajar lebih berwaspada bagi mengelak daripada menerima kekalahan besar.

Jika ia berlaku, tekanan akan dirasai apabila beraksi di gelanggang sendiri pada aksi kedua, Sabtu ini.
“Walaupun dihantui kecederaan beberapa pemain utama, kami masih mempunyai pemain-pemain lain yang berpengalaman mengisi kekosongan seperti Wan Rohaimi Ismail dan Irme Mat,” katanya.

Dalam pada itu, jurulatih Johor FC, Azuan Zain masih berteka-teki mengenai kesebelasan utama yang bakal diturunkan lantaran kecederaan Eddy Helmi Manan, Khairul Ismail dan Mohd. Rashid Aya masih samar-samar dan belum pasti diturunkan.

“Negeri Sembilan bukan calang-calang pasukan, tambahan pula mereka beraksi di gelanggang sendiri.

“Justeru, misi memburu gol seawal minit pertama juga diharap dapat direalisasikan bagi memberi tekanan kepada pasukan lawan,” katanya.

Sementara itu, kapten Johor FC, Hamzani Omar yakin rakan- rakan sepasukannya kini telah bersedia dari segi fizikal dan mental bagi menghadapi asakan pemain Negeri Sembilan meskipun skuad Rusa itu kini tempang tanpa Zaquan Adha Abdul Razak yang belum pulih daripada kecederaan.

“Suasana di dalam pasukan juga begitu harmoni. Kami semua menghormati serta mendengar arahan jurulatih di luar dan di dalam padang,” katanya.

 sumber: Kosmo

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails