Pages


Monday, October 18, 2010

Sekitar Separuh Akhir Piala Malaysia

Jangan perlekeh Sang Lebah

KEJAYAAN melangkah ke saingan separuh akhir Piala Malaysia buat kali kedua sememangnya satu detik indah buat gergasi Selatan, Johor FC yang berjaya mara dengan peraturan gol di tempat lawan selepas seri 2-2 secara agregat dengan Pahang di Stadium Darul Makmur, Kuantan kelmarin.

Jika tidak kerana jaringan Eddy Helmi Manan yang berjaya menamatkan kemarau gol pada edisi Piala Malaysia kali ini pada minit ke-52, anak-anak buah Azuan Zain sudah pastinya ditunjukkan jalan keluar oleh skuad Tok Gajah yang kembali mengamuk menerusi dua jaringan Mohd. Shahrizan Mohd. Salleh dan Faizul Hussein selepas itu, sekali gus menyaksikan Sang Lebah tewas 1-2 pada perlawanan itu.

Kelebihan gol jaringan pemain profilik Johor FC, Khairi Kiman pada aksi suku akhir pertama di Stadium JCorp, Pasir Gudang sebelum ini juga menyaksikan lebih 10,000 penyokong setia Tok Gajah akhirnya berputih mata.

Tambahan pula pasukan kesayangan mereka terpaksa beraksi dengan 10 pemain selama lebih 30 minit gara-gara Mohd. Syawal Norsyam dibuang padang selepas mengutip kad kuning kedua.

Menurut Azuan, beliau kini ‘lega dalam trauma’ setelah pasukannya berjaya melangkah ke separuh akhir memandangkan Pahang benar-benar garang beraksi di tempat sendiri meskipun hanya beraksi dengan 10 pemain.

“Jaringan Eddy Helmi cukup melegakan bagi memastikan Johor FC layak dengan kelebihan jaringan gol di tempat lawan, namun saya agak terkilan dengan tindakan penjaga gol, Mohd. Anis Faron yang dilayangkan kad kuning akibat melambatkan permainan kerana tindakan sebegitu boleh menjejaskan tumpuan pemain Johor FC yang lain.

“Apa pun, kami tidak lagi mahu menoleh ke belakang dan kembali fokus dari segi mental dan fizikal bagi berdepan dengan juara bertahan, Negeri Sembilan di tempat lawan pada aksi separuh akhir pertama Rabu ini,” kata- nya kepada Kosmo!

Dalam pada itu, Eddy Helmi memberitahu, dia gembira berjaya menamatkan kemarau gol pada saingan Piala Malaysia kali ini, selain bersyukur jaringan tunggalnya itu berjaya membantu Sang Lebah layak ke separuh akhir buat kali kedua selepas kali pertama layak pada dua musim lalu.

“Walaupun saya dan rakan- rakan sepasukan agak penat selepas mengharungi jadual perlawanan yang ketat, ia tetap berbaloi kerana kami berjaya melepasi sasaran. 

“Sasaran kami tahun ini hanyalah untuk layak ke suku akhir,” katanya.

sumber: Kosmo
 
Usah dabik dada: Wan Jamak

PEMAIN Negeri Sembilan diingatkan tidak terlalu cepat mendabik dada berikutan kejayaan besar menewaskan Perlis pada peringkat suku akhir Piala Malaysia dengan agregat 4-1 kelmarin, kerana perjuangan mempertahankan kejuaraan makin berliku

urulatih Wan Jamak Wan Wan Hassan yang gembira dengan prestasi cemerlang anak buahnya, pantas mengingatkan pemain terus memberikan fokus kepada pencabar baru Johor FC pada separuh akhir pertama, di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, Rabu ini. 

Katanya, kejayaan membenam Perlis tidak sepatutnya melekakan pemain kerana misi sebenar masih belum dicapai, malah laluan dijangka lebih sukar berikutan kebangkitan pasukan kelab selatan tanah air itu.

“Cabaran menentang Johor FC bukan boleh dianggap mudah kerana kebangkitan pasukan kelab ini harus diberikan perhatian. Kemenangan ke atas Perlis harus menyuntik semangat lebih tinggi.

“Saya berharap pemain dapat membuktikan kemampuan dan tidak mensia-siakan peluang selepas ini,” katanya selepas melihat Abd Halim Zainal dan Shukor Adan memastikan juara bertahan dan juara Piala FA itu terus melangkah dengan agregat 4-1.

Wan Jamak mengakui, perubahan taktikal dengan menurunkan gandingan Shahurain Abu Samah dan Idris Karim memberi impak positif, selain keberkesanan setiap posisi yang menyumbang kepada kemenangan.
Namun Idris yang menerima dua kad kuning, tidak dapat diturunkan Rabu ini dan Wan Jamak sedang meneliti bakal pengganti untuk menggerakkan bahagian tengah dan depan.

“Kami tidak mempunyai ramai pilihan selepas ketiadaan Mohd Zaquan Adha (Abd Radzak) tetapi yang pasti, hanya pemain yang terbaik akan diturunkan untuk berdepan Johor FC.”
sumber: Berita Harian

Semangat Kenari tak pernah luntur

KEDAH tidak dapat menurunkan dua tonggak utamanya, Mohd Khairul Helmi Johari dan Mohd Sabre Mat Abu, akibat tindakan disiplin, pada perlawanan separuh akhir Piala Malaysia, menentang Kelantan, di Stadium Darulaman, Rabu ini.

Jurulatih Kedah, Ahmad Yusof, bagaimanapun, berkata kehilangan khidmat dua pemain itu tidak akan mematahkan semangat rakan sepasukan lain untuk terus memburu kejayaan pada perlawanan itu.

Beliau yakin pemain gantian bagi dua pemain itu dapat memikul tanggungjawab dengan baik bagi memastikan Kedah dapat melangkah ke perlawanan akhir nanti.

Kedah melangkah ke separuh akhir Piala Malaysia dengan agregat 5-2 selepas menewaskan Terengganu 3-0 pada perlawanan timbal balik kedua suku akhir di Staium Darulaman, kelmarin.

“Memang berlaku sedikit kecacatan apabila Mohd Sabre dan Mohd Khairul Helmi tidak dapat bermain tetapi ia tidak mematahkan semangat pasukan,” katanya.

Sementara itu pengurus pasukan, Khazali Din teruja setelah anak buahnya berjaya memastikan Hijau Kuning layak ke separuh akhir.

Katanya, kemenangan ke atas Terengganu membuktikan kemampuan pasukannya konsisten menjaringkan gol setelah berjaya melakukannya sebelum ini ketika membenam ATM pada perlawanan terakhir kumpulan.

“Saya memang teruja kerana kita berjaya melangkah ke separuh akhir setelah gagal melakukannya sejak dua musim lalu. Namun saya kecewa kerana kita terpaksa mengetepikan khidmat Sabree dan Khairul Helmi.

“InsyAllah saya yakin Ahmad Yusoff akan melakukan percancangan terbaik bagi mengatasi kepincangan ini ketika kita berdepan Kelantan pada perlawanan separuh akhir pertama di Alor Setar, Rabu ini di hadapan 35,000 penyokong setia Kedah,” kata Khazali.

sumber: Harian Metro

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails